Kaunter DST di LTAB dirasmikan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jan – Dengan hasrat untuk memberikan kemudahan dan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggannya, DST memperkenalkan kaunternya di Dewan Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas.

Majlis perasmian Kaunter DST itu disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah DST, Awang Abdul Latif bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof, hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif DST, Awang Suhaimi bin Hussain, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif DST, Haji Marsad bin Haji Ismail, ahli-ahli eksekutif DST, wakil dari Jabatan Penerbangan Awam serta pihak pengurusan dan kakitangan DST.

Menurut Pengurus Produk dan Pemasaran, Pang Tion Kiat, Kaunter DST di lapangan terbang itu bukan sahaja memberikan kemudahan kepada para pelanggan DST untuk melakukan pelbagai perkhidmatan seperti pembayaran bil, tetapi ia juga memberikan kemudahan kepada pelancong dari luar negara untuk mendapatkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh DST.

Awang Abdul Latif memotong reben bagi merasmikan Kaunter DST di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Awang Abdul Latif memotong reben bagi merasmikan Kaunter DST di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Awang Abdul Latif bergambar-ramai dengan pihak pengurusan DST selepas perasmian Kaunter DST di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Awang Abdul Latif bergambar-ramai dengan pihak pengurusan DST selepas perasmian Kaunter DST di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Salah satu produk yang menjadi tarikan kepada para pelancong atau pelawat ke Brunei adalah kad SIM pelancongan Easi yang boleh diperoleh dengan harga $15 serta mempunyai kredit sebanyak $5.

Pelbagai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh DST termasuk pembayaran bil bagi Prima, Go!Broadband Postpaid dan Kristal-Astro, disediakan di kaunter tersebut.

Kaunter DST di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 9 malam kecuali pada Jumaat di mana ia ditutup sementara dari pukul 12 tengah hari hingga 2 petang.