Kaunter Jabatan Buruh dibuka semula 20 Julai

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Berikutan dengan perkembangan situasi COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri memaklumkan bahawa semua perkhidmatan kaunter jabatan di keempat-empat daerah akan dibuka semula bermula 20 Julai depan.

Disebabkan penularan wabak COVID-19 di negara ini, semua perkhidmatan kaunter Jabatan Buruh di keempat-empat daerah telah ditutup bermula 25 Mac 2020 dan waktu menghadapkan permohonan-permohonan juga diubah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Buruh, dengan pembukaan semula kaunter-kaunter perkhidmatan berkenaan, pihak jabatan juga memaklumkan bahawa penghantaran permohonan melalui peti-peti permohonan tidak akan lagi digunakan bermula pada tarikh tersebut.

Manakala itu, perjumpaan bersama pegawai-pegawai hendaklah membuat temu janji terlebih dahulu dengan menghubungi bahagian-bahagian yang berkenaan.

Kenyataan turut memaklumkan bahawa waktu operasi bagi kaunter perkhidmatan adalah dari pukul 8:30 pagi hingga 11 pagi dan 2 petang hingga 3:30 petang manakala itu, kaunter pembayaran akan dibuka dari pukul 8:30 pagi hingga 11 pagi dan 2 petang hingga 2:45 petang.

Dalam memastikan keselamatan dan kesihatan orang ramai yang berurusan dan para pegawai dan kakitangan jabatan berkenaan dalam keadaan yang baik, orang ramai dikehendaki untuk mengimbas kod QR yang disediakan di pintu masuk dan keluar bangunan Jabatan Buruh dengan menggunakan aplikasi BruHealth sebelum dan selepas berurusan.

Seterusnya, berdasarkan kepada garis panduan berkaitan dengan COVID-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, Jabatan Buruh juga akan akan mengehadkan bilangan orang ramai yang berkunjung di premis pada satu masa yang sama.

Sebarang pertanyaan dan aduan serta perjanjian perjumpaan, orang ramai adalah dinasihatkan untuk menghubungi di Talian Jabatan Buruh atau melalui e-mel [email protected]

Nombor-nombor talian untuk dihubungi adalah 2383006 dengan sambungan 2301, 2302 atau 2300 bagi Bahagian Kewangan; sambungan 3211 atau 3200 bagi Bahagian Lesen Pekerja Asing; sambungan 3107 bagi Bahagian Lesen Perkhidmatan Domestik; sambungan 1074 atau 2102 bagi Bahagian Agensi Pekerjaan; sambungan 2203 atau 2205 bagi Bahagian Pampasan; sambungan 4503 atau 4504 bagi Bahagian Kajian dan Perangkaan (Banci).

Manakala itu, di bawah Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, talian Hotline Aduan Pertikaian Kerja adalah 2381848 atau 7298989 dan Unit Pemeriksaan (Pengesahan Alamat) boleh dihubungi menerusi talian 2383006 sambungan 4214.

Jabatan Buruh Cawangan Daerah Belait pula boleh dihubungi di talian 3331549, Jabatan Buruh Cawangan Daerah Tutong di talian 4221408 dan Jabatan Buruh Cawangan Daerah Temburong di talian 5221256.

Bagi sebarang pertanyaan am, orang ramai bolehlah menghubungi talian 2383006 atau 2380256.