Kaunter JBKBS beroperasi pagi sahaja

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 11 OGOS – Berikutan pelaksanaan langkah kawalan yang diperketatkan bagi membendung penularan COVID-19, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria (JBKBS) memaklumkan waktu operasi bagi pelbagai perkhidmatan kaunternya bermula hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, antara perkhidmatan kaunter yang terlibat adalah kaunter pembayaran bagi Bahagian Kewangan dan perkhidmatan kaunter bagi Bahagian Pengurusan Letak Kereta masing-masing di bangunan perbandaran di Kuala Belait dan Jalan Kemantin, Seria.

Kaunter-kaunter berkenaan kini dibuka bermula 8:15 pagi hingga 11:15 pagi sahaja dari Isnin hingga Khamis dan Sabtu.

Di samping itu, JBKBS juga memaklumkan bahawa kaunter-kaunter pertanyaan di pelbagai jabatan di bawahnya seperti Bahagian Korporat, Bahagian Ekonomi, Bahagian Penilaian dan Bahagian Cukai Bangunan ada-lah ditutup sehingga makluman seterusnya.

Oleh itu, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan, jabatan berkenaan memerlukan semua pengunjung ke kaunter-kaunter tersebut supaya mengimbas kod QR, memakai penutup mulut dan hidung serta melaksanakan penjarakan sosial.