Kaunter JPD buka dengan 50 peratus kapasiti

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Selaras dengan pengumuman bahawa jabatan kerajaan akan mula berkhidmat dalam 50 peratus kapasiti semasa Fasa Peralihan, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) juga akan mula beroperasi pada 20 November.

Sehubungan itu, kaunter-kaun-ter perkhidmatan di JPD akan dibukakan bermula 8:15 pagi sehingga 12:30 tengah hari pada fasa tersebut, menurut Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Awang Mohammad Yusof semasa menjawab persoalan media pada sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya, kapasiti kaunter juga akan dihadkan 50 peratus, misalnya sebelum ini ia mampu melayani 300 orang pelanggan, namun kelak, ia dihadkan 150 orang sahaja.

“Kaunter-kaunter yang dibuka termasuklah bagi memperbaharui lesen memandu, lesen kenderaan dan kaunter lain meliputi semua perkhidmatan di bawah JPD,” tambahnya.

Walau bagaimanapun, Yang Berhormat Dato menyeru orang ramai untuk terus menggunakan kaedah dalam talian bagi urusan memperbaharui lesen memandu dan kenderaan sebagai sebahagian norma baharu, meskipun kaunter dibuka.

Orang ramai juga boleh menggunakan talian TD123 bagi urusan memperbaharui lesen memandu dan lesen kenderaan, dengan cara itu perkhidmatan lain boleh menggunakan perkhidmatan kaunter-kaunter disediakan.