Kaunter JPD ditutup hingga 27 Mei

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MEI – Semua perkhidmatan kaunter Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) ditutup sementara semasa hari kelepasan awam sempena Hari Raya Aidilftri bermula hari ini hingga 27 Mei.

JPD, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, perkhidmatan kaunter di semua cawangan akan mula beroperasi pada 28 Mei depan.

Cawangan JPD bagi Ibu Pejabat JPD Gadong dan Kompleks Latihan dan Ujian Memandu Litar JPD Sungai Akar akan mula beroperasi pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu pada pukul 8 pagi hingga 3 petang.

Sementara bagi cawangan JPD Kuala Belait, Tutong, Temburong dan Brunei Muara iaitu Pejabat JPD Lama akan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 11:30 pagi dan disambung semula dari 1:30 petang hingga 3 petang pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu.

Manakala bagi Jumaat, waktu beroperasi bagi cawangan Ibu Pejabat JPD Gadong adalah dari pukul 8:30 pagi hingga 11 pagi dan bagi cawangan JPD Daerah Tutong dan Kuala Belait, waktu operasi pada pukul 8:30 pagi hingga 11 pagi hanya pada Jumaat minggu kedua dan terakhir saja.

Sementara itu, orang ramai masih boleh terus membaharui lesen memandu dan lesen kenderaan melalui perkhidmatan dalam talian JPD yang ada melalui portal rasmi kerajaan iaitu www.gov.bn atau melalui perkhidmatan Talian Darussalam (TD) 123.