Kaunter khas ujian swab dibuka

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Kementerian Kesihatan memaklumkan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) akan membukakan kaunter khusus bagi melaksanakan pembayaran pendaftaran dan ujian swab keluar negara, Kaunter 16, bersebelahan perpustakaan dan mula beroperasi esok (28 Oktober).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, kementerian itu menyatakan lagi bahawa waktu operasi kaunter berkenaan ialah pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 8 pagi hingga 3:30 petang, manakala itu, ditutup pada Jumaat, Ahad dan hari kelepasan awam.

Dengan adanya kaunter itu, Blok Utama Hospital RIPAS iaitu Kaunter A di Jabatan Kecemasan dan Kaunter 15 yang berdekatan dengan Kaunter Pengambilan Ubat bagi Pesakit Luar, tidak akan lagi menerima pembayaran bagi pendaftaran dan ujian swab untuk keluar negara.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Unit Hasil, Bahagian Kewangan dan Perolehan, Hospital RIPAS di talian 2242424 sambungan 1003 atau 1004.