Kaunter ujian calitan tekakdi terminal feri Labuan dibuka

LABUAN, 19 APRIL – Jabatan Kesihatan Labuan telah membuka kaunter ujian calitan tekak di Terminal Feri Ro-Ro Labuan bagi mengawal penularan wabak COVID-19 di pulau ini mulai hari ini.

Pengarahnya Dr Ismuni Bohari berkata kaunter itu diperlukan berikutan pertambahan penumpang dan kenderaan yang menggunakan terminal feri itu dari tanah besar Sabah setiap hari.

“Perlu ada kaunter ujian calitan tekak di terminal feri untuk pengambilan sampel memandangkan kira-kira 100 pengguna memasuki Labuan menerusi terminal ini ke tanah besar.

“Kaunter ini bukan sahaja untuk pengguna dari tanah besar tetapi juga untuk pekerja dalam sektor minyak dan gas,” katanya dalam sidang media di terminal itu di sini, hari ini.

Kaunter ujian calitan tekak itu adalah yang ketiga di Labuan dengan yang pertama di Klinik Kesihatan Membedai diikuti Lapangan Terbang Labuan.

Pegawai Jabatan Kesihatan Labuan melakukan ujian calitan tekak terhadap seorang penumpang sejurus tiba di Terminal Feri Antarabangsa Labuan pada 19 April. – Bernama

Dr Ismuni berkata Terminal Feri Antarabangsa Labuan dan Lapangan Terbang Labuan telah dilengkapi pengimbas termal.

Ujian calitan tekak di terminal feri itu hari ini menyaksikan satu keluarga dengan tiga kanak-kanak yang berada di Keningau, Sabah selama sebulan pulang ke Labuan dibawa ke pusat kuarantin Pusat Giat Mara untuk menjalani kuarantin.

Dr Ismuni berkata anggota keluarga tidak akan dipisahkan dan ditempatkan di dalam bilik yang sama.

“Ibu bapa dan anak mereka perlu menjalani ujian calitan tekak kerana mereka berada di tanah besar selama sebulan dan kawasan itu telah diisytiharkan sebagai kawasan merah COVID-19, mereka perlu menjalani kuarantin sementara menunggu keputusan ujian,” katanya.

Dr Ismuni berkata Labuan masih diisytihar zon kuning COVID-19 sehingga baki tiga kes pulih sepenuhnya dan tiada kes baharu direkodkan dalam tempoh 14 hari.

Labuan merekodkan 16 kes kumulatif COVID-19 dengan 13 pesakit telah pulih sepenuhnya. – Bernama