Kaviar bermutu China ‘tawan’ dunia

QIANDAOHU, CHINA – Kaviar dalam menu restoran-restoran berbintang Michelin mungkin datang dari tempat yang tidak dijangka iaitu China.

Negara itu telah mengalami skandal makanan yang memalukan dalam beberapa tahun ini, namun telur ikan sturgeon mereka telah mendapat pengiktirafan daripada penggemar kaviar di seluruh dunia.

Ia juga telah menjadi semakin mahal untuk pembeli Amerika Syarikat (AS) kerana kaviar China adalah antara beberapa produk yang dikenakan tarif sebanyak 25 peratus dalam perang perniagaan AS-China.

Sebahagian besar pengeluaran China datang dari tasik yang mempunyai pemandangan cantik dikelilingi oleh gunung di timur wilayah Zhejiang di mana pemimpin industri Kaluga Queen menternak ikan besar tersebut.

Jenama itu dicipta pada tahun 2005 oleh pakar yang bekerja untuk kementerian pertanian dan kini ia sedang menghasilkan lebih satu pertiga daripada kaviar dunia, sekali gus menjadikan China pemimpin global.

Para pekerja syarikat kaviar Kaluga Queen menimbang telur ikan sturgeon di kilang pemprosesan di bandar Quzhou, wilayah Zhejiang, China, pada 12 November. – AFP
Gambar yang diambil pada 12 November menunjukkan seorang pekerja syarikat kaviar Kaluga Queen China memotong ikan sturgeon untuk mendapatkan telurnya di kilang pemprosesan di bandar Quzhou, wilayah Zhejiang, China.
– AFP
Gambar menunjukkan kaviar dihidangkan di sebuah syarikat kaviar Kaluga Queen di bandar Quzhou, wilayah Zhejiang, China. – AFP
Seorang pekerja sedang memberi makan sturgeon di sangkar ikan yang dikendalikan oleh syarikat kaviar Kaluga Queen di tasik Qiandao, wilayah Zhejiang, China. – AFP

Sangkar ikan sturgeon syarikat itu terletak 20 minit perjalanan menggunakan bot dari pantai di Qiandaohu atau Tasik Thousand Island.

Qiao Yuwen, seorang penternak, berdiri di pinggir kolam tempat haiwan berkenaan hidup sehingga ia berusia di antara tujuh hingga 15 tahun.

Ikan sturgeon terbesar boleh membesar sehingga empat meter panjang dan mempunyai berat 300 kilogram.

“Ikan-ikan itu seperti anak damit kami. Kami melihatnya sejak ia kecil, maka sukar rasa-nya melihat ia dihantar untuk dikerat dan diambil telurnya,” kata Qiao.

“Namun sudah tentunya timbul juga kepuasan kerana memberikan sumbangan untuk menghasilkan produk yang luar biasa,” kata beliau sebelum menabur makanan yang terdiri daripada udang kecil, kacang pea dan vitamin kepada ikan.

Untuk masa yang lama, Iran dan Rusia menangkap ikan sturgeon di Laut Caspian.

Namun jumlah ikan hampir pupus akibat penangkapan ikan berlebihan dan kegiatan memburu selepas Kesatuan Soviet, yang telah mengawal penangkapan ikan, jatuh pada tahun 1991.

Penangkapan ikan sturgeon di Laut Caspian diharamkan pada tahun 2008 sementara penternakan sturgeon telah berkembang pesat bagai cendawan tumbuh selepas hujan di semua tempat, dengan Itali, Perancis dan China antara pemimpin dunia dalam industri tersebut.

Kaluga Queen mempunyai 300 pekerja yang menjaga kira-kira 200,000 ekor ikan sturgeon. Sebaik sahaja mereka mencecah tempoh matang, ikan betina dikeluarkan dan dibawa ke sebuah makmal di mana perut mereka dipotong untuk mengeluarkan telur hitam.

Telur ikan seterusnya dicuci, diasing, dibubuh garam dan disimpan dalam kotak.

Kaluga Queen menghasilkan 86 tan kaviar pada tahun lalu, kebanyakannya untuk dieksport, dengan separuh disalurkan ke Kesatuan Eropah, 20 peratus ke Amerika Syarikat dan 10 peratus ke Rusia.

Bergantung pada spesies, harga sekilo berlainan di antara 10,000 dan 180,000 yuan (AS$1,420 hingga AS$25,600).

Ikan sturgeon yang menghasilkan telur kaviar paling mahal boleh dijual dengan harga dua juta yuan.

“Ia adalah harga sebuah Ferrari,” kata Xia Yongtao, naib presiden syarikat.

Kaluga Queen telah mengharungi ‘perjalanan jauh’ untuk memenangi kepercayaan pelanggan sejak syarikat itu menghasilkan balang pertama kaviar pada 2006, kata Xia.

Kaviar China perlu mengatasi rasa ragu-ragu daripada pelanggan asing yang membaca tajuk berita mengenai skandal makanan, daripada susu tepung tercemar kepada kicap yang mengandungi arsenik dan beras yang dicemari kadmium.

“Beberapa tahun lalu, pelanggan keberatan apabila kami bercakap tentang kaviar China,” kata Raphael Bouchez, presiden Kaviari, pembekal kepada restoran terkenal yang berpangkalan di Paris.

Bouchez meyakinkan pelanggan dengan menjelaskan bagaimana pengeluar China menternak ikan dan menggunakan kaedah yang menghormati alam sekitar.

“Kaviar China, ia mesti dikatakan kaviar yang amat bagus,” kata Bouchez.

“Itu pun, kebanyakan cef masih tidak mahu kaviar China. Mereka lebih suka kaviar yang datang dari Perancis, Uruguay atau tempat lain,” kata beliau.

Hari ini, Kaluga Queen mempunyai kadar pusing ganti tahunan berjumlah 220 juta yuan dan di antara pelanggannya adalah syarikat penerbangan Jerman Lufthansa dan L’Atelier de Joel Robuchon, restoran dua bintang Michelin di Shanghai.

Pengedar membekal restoran lain di seluruh dunia, dan seorang pembeli berkata beliau telah menyerahkan satu hantaran kepada Kim Jong Un, menurut Xia.

Cef Perancis Guy Savoy, dengan restorannya di Paris mempunyai tiga bintang Michelin dan dinilai restoran terbaik di dunia, menggunakan kaviar China bersama sirip ikan paus dan kapis.

“Label ‘dibuat di China’ tidak penting,” beritahu Savoy kepada AFP.

“Apa yang penting adalah kualiti penternakan. Mereka yang membekal kepada kami mempunyai kualiti amat baik.”

Lily Liu, pengurus pemasaran Kaluga Queen, berharap orang lain boleh mencuba kaviar syarikatnya.

“Kami berharap Donald Trump akan merasa kaviar kami dan berkata: ‘Saya sukakannya. Biarlah kami kurangkan tarif dan membantu kaviar China menawan Amerika!” – AFP