Kawal anak daripada taksub terhadap karakter kartun

KANAK-KANAK dan watak kartun memang tidak boleh dipisahkan. Ada kanak-kanak boleh menjadi taksub dengan karektor kartun kegemaran. Mereka bukan sahaja akan obses menonton rancangan kartun tersebut bahkan mahu semua alat permainan, aksesori, pakaian dan sebagainya mempunyai karektor kartun itu.

Mula-mula memang nampak comel tetapi lama-kelamaan, anda berdua yang susah hati apabila anak semakin taksub sehingga mengganggu perilaku mereka menjadi cepat mengamuk dan marah sekiranya tidak dapat menonton kartun kegemaran.

Lebih susah hati apabila anak mahu menonton kartun sepanjang hari tanpa membenarkan ibu dan ayah menonton rancangan lain. Hari ini memang ramai ibu bapa yang hanya menurutkan kehendak anak mereka kerana tidak mahu anak mengamuk.

Sesuatu perlu dilakukan sebelum keadaan menjadi semakin teruk dan sukar dikawal. Sebagai ibu bapa anda bertanggungjawab untuk mengawal keadaan ini. Tidak salah bagi anak yang masih kecil untuk meminati sesuatu karektor kartun tetapi perlu dalam keadaan sederhana dan terkawal.

Jika anda belum terjebak elok amalkan tip berikut dan bagi yang anak-anak sudah terlalu taksub dengan sesuatu kartun, belum terlewat untuk mengawalnya.

Ibu bapa harus bijak mengawal anak-anak agar tidak terlalu taksub dengan karakter kartun.
Ibu bapa harus bijak mengawal anak-anak agar tidak terlalu taksub dengan karakter kartun.

Hanya sekadar hiburan

Kita memang tidak boleh menafikan bahawa hak seseorang kanak-kanak yang gemar dengan hiburan kartun. Oleh itu sejak awal lagi memperkenalkan anak dengan rancangan kartun, kawal jumlah masa anak menontonnya.

Jangan sekali-kali menjadikan rancangan kartun di televisyen sebagai ‘pengasuh’ anak. Semata-mata untuk membiarkan dia duduk diam maka anda sogok anak dengan rancangan kartun sepanjang hari sebab lama-kelamaan jika dibiarkan mereka akan ketagih dan sukar untuk dikawal.

 Kawal anak

Jika boleh jangan biarkan anak untuk menonton kartun dengan sendirian. Ambil peluang menonton bersama untuk menerangkannya nilai baik yang boleh dipelajari daripada waktu kartun yang ditonton. Contohnya kalau ada pengajaran baik daripada karektor kartun atau animasi maka beritahu anak tentang kebaikan tersebut.

Misalnya watak kartun Boboiboy yang suka menolong orang di dalam kesusahan boleh dijadikan contoh kepada anak supaya sentiasa menjadi manusia yang suka membantu orang lain dalam kesusahan.  Tetapi jangan lupa untuk ingatkan anak dalam dunia realiti tiada kuasa yang boleh wujud seperti dalam watak kartun.

Jangan keterlaluan manjakan anak

Biasanya ibu bapa yang keterlaluan berbanding anak-anak. Awalnya anak yang kecil tidak mengetahui tentang cara mewujudkan barangan atau pakaian bermotifkan karektor kartun kegemaran mereka tetapi oleh kerana sayangkan anak, ibu bapa hadiahkan anak dengan barangan tersebut.

Akhirnya anak menjadi obses dan mahu memiliki semua barangan yang ada karektor kartun kegemarannya sehingga kalau tidak dapat boleh mengamuk dan sebagainya. Maka sejak awal biasakan dengan anak untuk membeli barangan itu sekadar perlu dan bukan membazir.

Jangan memuja karektor kartun

Kanak-kanak masih belum cukup akal untuk membezakan perkara yang baik atau buruk, jadi ibu bapa perlu sentiasa membimbing mereka. Dalam menggemari sesuatu watak kartun misalnya, cuba beritahu anak supaya tidak terlalu taksub atau keterlaluan memuja kehebatan kartun kegemarannya.

Sebaliknya sentiasa ingatkan kepada mereka siapa yang lebih berkuasa di seluruh alam semesta ini selain dari Allah SWT. Dengan cara itu si kecil akan tahu bahawa watak kartun tersebut tidak layak untuk dipuja secara berlebihan.

 Tetapkan had

Seeloknya sejak dari peringkat awal anak diperkenalkan dengan rancangan kartun, anda perlu mendisiplinkan mereka dengan had masa menontonnya. Kalau sudah terbiasa sejak awal lagi hanya menonton kartun dalam waktu tertentu jadi tiadalah masalah si kecil akan seharian tengok cerita kartun sahaja sehinggakan ibu bapa tidak berpeluang untuk menonton televisyen. Ingatlah yang anda lebih berhak mengawal dan berkuasa dalam menentukan bila masa untuk anak menonton kartun dan bukannya anak yang menguasai segalanya.