ANAK meragam atau mengamuk di tempat umum mungkin akan membuatkan anda malu dan sangat marah. Anak pula akan menangis dan menjerit dengan sekuat hati ditambah dengan aksi berguling-guling tanpa menghiraukan orang lain di sekeliling. Apa yang si kecil ini tahu, kemahuan mereka mesti dipenuhi.
Akibatnya segelintir ibu bapa memilih untuk mengalah dengan anak-anak, apa yang penting bagi mereka ialah agar si kecilnya tidak lagi menjerit-jerit.
Namun pada hakikatnya, jalan mudah ini adalah salah, jika dibiarkan beterusan akan menjejaskan perkembangan anak secara positif.
Sebagai ibu, anda harus tahu cara yang betul untuk menangani anak yang sering mengamuk dan meragam.
Walaupun mengamuk adalah satu perkembangan normal tetapi sebagai ibu bapa, kita seharusnya menolong anak mengawal tabiat tersebut.
Berikut adalah beberapa panduan untuk anda ketika menghadapi anak-anak yang suka mengamuk.
Alih perhatian anak
Pernah seorang ibu menangis apabila anaknya mengamuk dan meragam. Melihat ibunya menangis, anak itu bertanya kenapa ibunya itu menangis. Jawab ibu itu, dia menangis kerana anaknya yang baik meragam.
Mendengar jawapan ibunya itu, anak itu berhenti menangis lalu terus memeluk dan mencium ibunya.
Cara itu mungkin boleh dilakukan oleh ibu dalam usaha untuk memujuk anak yang meragam selain mengalihkan perhatian mereka dengan sesuatu yang mereka suka.
Jangan mengikut kehendak anak
Kanak-kanak mengamuk kerana mereka tahu dengan cara tersebut mereka akan dapat apa yang diinginkan.
Elakkan daripada mengalah dengan kehendak anak dan memenuhi permintaan yang tidak sepatutnya.
Kanak-kanak memang bijak. Sekali kita mengalah apabila mereka mengamuk, mereka tahu kelemahan kita dan akan mengamuk setiap kali keperluan mereka tidak dipenuhi.
Jangka masa mereka mengamuk juga akan lebih lama kerana mereka tahu anda akan mengalah akhirnya. Oleh itu, cekalkan hati dan tegas dalam membuat keputusan.
Elak daripada marah dan menjerit
Jangan sesekali memarahi si kecil anda kerana ia tidak akan membantu. Terangkan pada mereka kenapa tidak boleh atau tidak dapat melakukan sesuatu.
Jika anak mengamuk kerana tidak dapat melakukan sesuatu tugasan atau permainan, cuba beri tugasan atau permainan yang lebih mudah atau bantu anak untuk mencapai objektifnya.
Memberi pelukan dan kasih sayang juga dapat membantu anak-anak yang meragam menjadi tenang.
Apabila anak berhenti mengamuk
Berbincanglah dengan mereka kenapa permintaannya tidak dipenuhi dan kenapa mereka tidak sepatutnya bersikap sedemikian.
Tegaskan bahawa dengan mengamuk tidak akan membawa apa-apa kebaikan kepada mereka dan itu adalah satu tingkah laku yang tidak baik.
Tunggu keadaan redha
Membiarkan anak meragam adalah ubat paling mujarab kerana jika anda memujuk, ia akan memberi gambaran bahawa dia akan dapat semua yang dimahukan bila dia meragam.
Cuma pastikan anak anda selamat kerana ada sesetengah kanak-kanak yang bertindak di luar kawalan sehingga mencederakan diri apabila mengamuk seperti menghantuk kepala ke lantai dan ada juga yang sukar bernafas ketika mengamuk.