Kawal kadar diabetes

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Penyakit diabetes terus kekal menjadi punca kematian ketiga tertinggi di negara ini sejak tahun 2012, di mana kadar kematian berpunca daripada penyakit diabetes adalah pada tahap 10.1 peratus pada tahun 2017, menurut perangkaan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Menurut laporan Kaji Selidik Status Kesihatan dan Pemakanan 2011 Kebangsaan (NHANSS) bahawa kira-kira 12.4 peratus penduduk Negara Brunei Darussalam menghidap penyakit diabetes.

Sementara dalam Kaji Selidik Cross-sectional STEPwise Approach to Surveillance (STEPS) Population Survey of Noncommunicable Diseases (NCDs) and Risk Factors in Brunei Darussalam mendapati bahawa 9.7 peratus penduduk Negara Brunei Darussalam mempunyai tahap gula dalam darah yang tinggi.

Sehubungan itu, dalam usaha untuk terus mengawal peningkatan diabetes, Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan mengadakan aktiviti yang menjurus kepada aktiviti riadah bersempena dengan Hari Diabetes Sedunia yang disambut setiap 14 November.

Hadir pada acara yang diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, ibu negara itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman selaku tetamu kehormat.

Haji Abdul Manap ketika menyertai acara pemanasan badan semasa aktiviti riadah berkenaan.
Antara yang ikut serta dalam acara walkaton sejauh 3km sempena Sambutan Hari Diabetes Sedunia.

Aktiviti riadah anjuran Pusat Endokrin, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Syarikat Aewon Brunei dan RYS Entertainment itu merangkumi aktiviti walkaton sejauh 3km, pemeriksaan kesihatan, aktiviti-aktiviti padang, Treasure Hunt (cabutan bertuah), pameran kesihatan dan sebagainya.

Terdahulu, majlis tersebut dimulakan dengan pelancaran Sambutan Hari Diabetes Sedunia, di mana pada tahun ini, sambutan tersebut membawa tema ‘Diabetes: Lindungi Keluarga Awda’.

Tema ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang awam mengenai faktor risiko dan tanda-tanda penyakit diabetes dan komplikasinya dan menyarankan agar ahli keluarga menyedari peranan masing-masing dalam melindungi ahli keluarga mereka daripada menghidap penyakit diabetes.

Bagi pesakit-pesakit yang mengalami penyakit diabetes, peranan ahli-ahli keluarga adalah sangat penting bagi memberi sokongan dalam pengurusan dan penjagaan diabetes yang lebih berkualiti.

Menurut 8th Edition International Diabetes Federation (IDF) Atlas yang dikeluarkan pada tahun 2017, seramai lebih 425 juta penduduk dunia menghidap penyakit diabetes.

Jumlah ini dijangka akan meningkat mencecah 625 juta menjelang tahun 2045 sekiranya tidak ada pelan tindakan dilaksanakan untuk mengawal atau menangani peningkatan isu ini.

Tambahan lagi penyakit diabetes disenaraikan sebagai punca utama kematian ke-7 tertinggi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2016 dan telah menyebabkan kematian kepada empat juta penduduk dunia pada tahun 2017 seperti yang dilaporkan oleh IDF.

Justeru, dengan adanya aktiviti-aktiviti tersebut, orang ramai diharap akan dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai diabetes serta komplikasinya dan seterusnya membantu melindungi ahli keluarga masing-masing daripada aspek penjagaan diabetes serta risiko-risikonya seperti darah tinggi dan kolesterol tinggi agar komplikasi diabetes boleh dielakkan.

Selain daripada itu, orang ramai juga digalakkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan mengambil langkah untuk mencegah diri sendiri daripada menghidapi diabetes melalui amalan gaya hidup sihat.