Kawal marah dengan kesabaran

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Setiap ujian dan dugaan yang menimpa hendaklah dihadapi dengan sifat sabar kerana ada kalanya ujian yang diberikan itu membuatkan kita berasa marah dan susah hati.

Khatib dalam khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Kawal Marah dengan Kesabaran’, hari ini, menekankan umat Islam agar sedaya upaya mengawal kemarahan mereka ketika diuji dengan pelbagai dugaan, ini kerana, marah itu merupakan sifat yang sangat buruk dan dicela, yang mana Allah SWT memuji orang-orang yang sabar.

“Sifat marah ialah berasa panas hati atas sesuatu atas sebab-sebab yang tertentu seperti perasaan tersinggung, terasa dihina, difitnah dan seumpamanya tapi kita perlu bijak mengawal emosi, tutur kata, tingkah laku supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini,” jelasnya.

Khatib seterusnya menambah, terdapat beberapa amalan yang boleh dilakukan untuk mengawal atau memadam api kemarahan, antaranya membaca Ta’awudz, yang sunat dibaca ketika marah.

“Perasaan marah merupakan sifat semula jadi manusia tapi sebagai manusia yang dikurniakan akal dan fikiran, hendaklah sentiasa berusaha mengawal kemarahan tersebut supaya tidak merosakkan diri dan maruah sendiri,” tambahnya.

Khatib dalam khutbahnya mengingatkan untuk sentiasa mengamalkan sifat sabar dan memperbanyakkan zikrullah supaya hati tenang dan tabah dan ingatlah hidup di dunia ini dalam keadaan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

“Hubungan tersebut hendaklah diikat dengan mahabbah atau kasih sayang agar dapat hidup harmoni dan aman damai,” tambahnya.

Dalam hadis Rasulullah SAW ada menyebut, orang yang dapat menahan diri daripada marah itu adalah orang yang kuat.

Baginda juga bersabda, bukanlah orang yang kuat itu dinilai dengan kekuatan dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.