Kawal media sosial – Clegg

LONDON, 24 JUN – Kerajaan mesti mengawal rangkaian sosial dan bukan syarikat itu sendiri, kata ketua hal ehwal global Facebook dan bekas timbalan perdana menteri UK dalam satu temu bual hari ini.

“Bukan syarikat swasta, besar atau kecil, yang kemukakan peraturan berkenaan. Ia adalah untuk ahli politik demokratik dalam dunia demokratik yang melakukannya,” beritahu Clegg kepada BBC.

Clegg, bekas pemimpin parti politik UK Liberal Demokrat, berkata timbulnya ‘keperluan terdesak’ untuk ‘peraturan baharu’ mengenai isu termasuk privasi data dan peraturan pilihan raya.

Pada masa yang sama, syarikat seperti Facebook harus memainkan ‘peranan matang’ dalam menyokong peraturan, beritahunya kepada BBC.

Britain berkata ia akan meminta bos media sosial bertanggungjawab atas isi kandungan yang berbahaya dan menutup platform yang melanggar peraturan di bawah pelan kerajaan yang ‘terkenal di dunia.’

Menerima kritikan teruk sejak setahun lalu, Facebook telah melaksanakan pembaharuan, terutamanya mengenai privasi dan ketelusan iklan kempen politik.

Ketua Facebook Mark Zuckerberg telah menggesa peraturan dalam talian yang ‘harmoni di seluruh dunia.’

Pewaham berkata Facebook berusaha membeli masa di tengah gesaan meminta peraturan yang lebih ketat di Amerika Syarikat dan tempat lain – dengan beberapa pihak meminta firma teknologi utama diasingkan dan aktivis lain menyoal sama ada mereka harus mengekalkan kekebalan daripada liabiliti untuk isi kandungan yang disiarkan oleh pengguna. – AFP