Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Dalam usaha untuk memastikan pemasaran dan pengiklanan makanan tidak sihat oleh syarikat-syarikat francais dapat dikawal agar ia tidak memberikan kesan buruk kepada orang ramai terutama sekali kepada kanak-kanak di sekolah, Kementerian Kesihatan sentiasa bertindak di bawah Multisectoral Task Force for Health Cross Functional Team: Giving Every Child the Best Start in Life.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menambah, untuk menghasilkan dan melaksanakan dasar pengiklanan makanan dan minuman kepada kanak-kanak, tindakan berkenaan juga telah dimasukkan sebagai salah satu inisiatif di bawah Pelan Strategik Kementerian Kesihatan 2019-2023, SG2: Pencegahan dan Pengawalan Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit.
Yang Berhormat Dato menjelaskan perkara ini semasa menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad pada Persidangan MMN ke-16 di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya menambah, tindakan berkenaan selaras dengan resolusi yang diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semasa Perhimpunan Kesihatan Dunia ke-63 (WHA 63.14) pada Mei 2010, di mana satu set cadangan mengenai pemasaran makanan dan minuman tanpa alkohol kepada kanak-kanak telah disahkan dan disarankan untuk menegakkan tanggungjawab negara-negara ahli terhadap pemasaran makanan yang mengandungi lemak, gula atau garam yang tinggi dan juga minuman tanpa alkohol.
Kajian-kajian di luar negara telah menunjukkan bahawa pengawalan pemasaran makanan dan minuman adalah tindakan yang kos efektif dalam mengurangkan kadar NCD terutama sekali di kalangan kanak-kanak.
Dalam merangka dasar tersebut, beberapa sesi dialog bersama agensi-agensi kerajaan dan swasta yang berkepentingan dalam mengawal pengiklanan makanan dan minuman di negara ini telah pun diadakan sejak tahun 2018 lalu.
Pihak Kementerian Kesihatan juga telah berkesempatan untuk menghadiri mesyuarat khusus mengenai perkara berkenaan yang telah dianjurkan oleh pihak WHO pada tahun lepas dan mengambil kira panduan serta saranan yang telah diberikan; di samping itu, mengambil iktibar daripada pengalaman negara-negara ahli yang lain.
“Hasil dari segala perbincangan tersebut, Alhamdulillah, draf ‘Code of Responsible Advertisement of Food and Beverages to Children’ telah dihasilkan bagi kawalan pengiklanan makanan dan minuman tidak sihat kepada kanak-kanak di negara ini,” ujarnya.
Pada masa ini, tambah beliau, draf dokumen tersebut sedang diteliti dan dikemas kini melalui beberapa perbincangan bersama agensi-agensi yang relevan termasuk industri makanan dan pengiklanan, sebelum ia disosialisasikan dan dilaksanakan secara berfasa, sepertimana yang disarankan oleh pihak WHO.
Draf dokumen yang telah dikemas kini diteliti lagi dan diendors oleh pihak Kementerian Kesihatan.
“Insya-Allah ia akan dikongsikan dengan agensi-agensi kerajaan yang relevan dan akan diberigakan kepada pihak-pihak berkepentingan dan orang awam secara berfasa pada tahun ini,” ujarnya lagi.
Mengulas soalan mengenai inisiatif kepada pengusaha-pengusaha makanan memperkenalkan strategi seperti fast food tax yang turut dibangkitkan Yang Berhormat Awang Iswandy, Yang Berhormat Menteri Kesihatan berkata, setakat ini, kajian mengenai pencukaian terhadap makanan segera amnya adalah terhad dan buktinya tidak diketahui disebabkan beberapa faktor yang kompleks, termasuk definisi makanan segera.
“Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kaedah pencukaian bagi makanan dan minuman tidak sihat disyorkan berdasarkan saranan pihak WHO dan juga pengalaman daripada negara-negara lain. Salah satu daripada kaedah pencukaian yang telah disyorkan ialah pencukaian minuman yang tinggi gula,” ujarnya.
Beliau mengongsikan, susulan pengenalan cukai eksais terhadap minuman tinggi gula pada 1 April 2017 oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, jumlah pengimportan minuman tinggi gula menurun sebanyak 7.8 peratus, manakala, pengimportan air botol meningkat 40 peratus dan susu segar meningkat 11 peratus.
Data juga menunjukkan bahawa pengimportan minuman kurang gula (minuman yang mengandungi kurang daripada 6 gram gula dalam 100ml) meningkat 41 peratus.
Respons daripada pengusaha-pengusaha minuman bergula juga pada amnya menunjukkan trend yang menggalakkan, di mana para pengusaha minuman bergula didapati telah mengurangkan kandungan gula dalam produk minuman mereka.
Menurut satu kaji selidik yang dijalankan di pasar-pasar raya, penjualan minuman yang tidak mengandungi gula dan kurang gula meningkat sebanyak 50 peratus dari 2015 ke 2019.
Perubahan sedemikian adalah sangat-sangat menggalakkan kerana ia menyumbang kepada persekitaran yang lebih kondusif bagi membuat pilihan minuman yang lebih sihat di Negara Brunei Darussalam.
Sebagai langkah seterusnya, jelas beliau, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi sedang membuat penelitian terhadap kategori-kategori makanan dan minuman bukan asasi yang tidak atau kurang mengandungi zat makanan bagi cadangan pencukaian.
Perbincangan dan bengkel bersama pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholder engagement) telah dijalankan bagi tujuan penelitian kategori-kategori makanan dan minuman tersebut dengan menekankan dan mengambil kira implikasi kepada kos pentadbiran pencukaian, ekonomi, perdagangan, perusahaan mikro kecil dan sederhana dan kesejahteraan penduduk.