Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Orang ramai dinasihatkan untuk tidak berasa panik dan cemas serta tidak mudah terpedaya dan percaya akan maklumat dan berita yang disebarkan melalui Internet atau melalui media lain seperti WhatsApp, Facebook, Twitter dan seumpamanya tanpa memastikan kesahihannya terlebih dahulu.
Nasihat itu ditekankan oleh khatib hari ini dalam khutbah Jumaatnya yang bertajuk ‘Amalan Berdoa sebagai Budaya Bangsa’, berikutan koronavirus (COVID-19) yang sudah menular di negara ini.
Khatib menjelaskan menyebarkan maklumat yang tidak sahih apatahlah lagi yang palsu dan direka oleh mereka yang semata-mata berniat untuk mengelirukan adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dihukum penjara dan denda.
Dalam menghadapi penyakit ini, katanya, hendaklah mengamalkan langkah pencegahan bagi mengawal peningkatan penularan jangkitan penyakit ini.
Ini seperti, mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dan bagi orang yang beragama Islam, jelas khatib, disarankan untuk sentiasa berada di dalam keadaan berwuduk kerana ia selari dengan nasihat menjaga kebersihan diri.
Di samping tujuan beribadah seperti mencuci tangan, hidung dan mulut serta anggota tubuh badan yang lain dan yang kedua, tambahnya, hendaklah kerap membasuh tangan dengan air yang bersih dan sabun.
Ketiga pula, memakai penutup muka (mask) jika mempunyai tanda-tanda jangkitan pernafasan seperti batuk atau selesema.
Sementara yang keempat hendaklah menutup mulut dengan tisu ketika batuk atau bersin, kelima bersikap bertanggungjawab jika menghadapi tanda jangkitan pernafasan untuk mendapatkan rawatan dan berehat di rumah serta mengelakkan daripada mengunjungi tempat awam dan menghadiri acara keramaian.
Jemaah juga dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi panduan-panduan dan nasihat yang telah dikeluarkan oleh pihak berwajib di negara ini seperti Kementerian Kesihatan dan lain-lain dalam sama-sama memastikan wabak ini terkawal daripada menular di negara ini.
Sebagai orang Islam, tegas khatib, hendaklah sentiasa mengharapkan rahmat, keampunan, perlindungan dan pertolongan daripada Allah SWT dan cara untuk mendapatkan perlindungan dan pertolongan itu melalui doa.
“Berdoa itu hendaklah dilakukan pada setiap masa ketika dan keadaan, lebih-lebih lagi pada ketika ini negara diuji dengan penyakit koronavirus (COVID-19),” jelasnya.
Khatib dalam khutbah tersebut mengingatkan tujuan berdoa itu perlu difahami adalah untuk memohon rahmat, keberkatan, keampunan dan perlindungan dari Allah serta wabak ini segera dapat ditangani di negara ini dan kita semua terselamat daripadanya.
Teruslah menadah tangan kehadrat Allah berdoa kepadaNya kerana doa yang dibacakan itu lazimnya untuk mendapat keampunan, rahmat, keberkatan, kesejahteraan, kesihatan, keselamatan, mohon perlindungan untuk diri, keluarga dan negara dari mara bahaya, bencana dan sebagainya.
“Marilah kita sama-sama memperbanyakkan membaca doa dan memohon hidayat dari Allah semoga wabak penyakit ini akan segera berakhir dan semoga raja kita, diri kita, ahli keluarga serta seluruh rakyat negara ini mendapat rahmat serta perlindungan Allah dan selamat dari wabak penyakit, mara bahaya dan bala bencana,” kata khatib di akhir khutbahnya.