Saturday, January 28, 2023
23.2 C
Brunei

-

Kawal sifat marah, tanam kesabaran

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Perasaan marah merupakan sifat semula jadi manusia tapi sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran, hendaklah sentiasa berusaha mengawal kemarahan agar tidak merosakkan diri dan maruah sendiri.

“Oleh itu untuk mengawal marah, kita hendaklah sentiasa mengamalkan sifat sabar dan memperbanyakkan zikrullah supaya hati menjadi tenang dan tabah,” kata khatib semasa menyampaikan khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Peroleh Kebaikan, Elak Kerugian’.

Dalam pada itu, khatib mengingatkan hidup di dunia ini dalam keadaan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara yang mana hubungan tersebut hendaklah diikat dengan mahabbah dan kasih sayang supaya semua dapat hidup dengan harmoni, damai dan bersatu padu.

Dari itu, jika ada orang membuat kita marah, janganlah kita berdendam dan bermusuhan apatah lagi untuk memutuskan hubungan silaturahim.

Allah menciptakan sifat marah itu daripada api dan menjadikannya sebagai salah satu tabiat atau perangai bagi manusia.

Antara punca yang menyebabkan sifat marah itu terjadi adalah sifat ujub, riyak dan takbur dalam diri seseorang yang merasakan dirinya itu lebih hebat daripada orang lain.

Selain itu, marah boleh tercetus kerana bertengkar atas suatu perkara yang kecil dan remeh-temeh, berasa dizalimi, dikhianati, diperkecil dan seumpamanya.

Di samping itu, marah boleh berpunca akibat gurauan melampaui had dan batasan, tapi akhirnya membawa kepada memaki hamun, mencaci, mencela, memukul dan seumpamanya.

Menurutnya, lidah yang tidak dikawal dengan baik sehingga mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan orang lain juga boleh menimbulkan kemarahan.

Katanya lagi, “Baginda Rasulullah SAW ada menyebutkan dalam hadis Baginda, bahawa orang yang dapat menahan diri dari marah adalah orang yang kuat.”

Dalam agama Islam, marah itu secara amnya terbahagi kepada dua iaitu marah yang dipuji dan marah yang dikeji.

Marah yang dipuji, katanya, adalah marah yang diluahkan kerana membela kebenaran dan agama dan marah kerana menegah kemungkaran dan perkara-perkara haram.

Manakala marah yang dikeji itu, marah untuk mempertahankan perkara yang batil atau salah seperti mempertahankan nama, pangkat, bermegah-megah dengan ilmu pengetahuan dan bermegah-megah dengan harta, hakikatnya kebanyakan punca orang yang marah adalah kerana mempertahankan perkara tersebut.

Katanya lagi, penyakit marah yang dicela itu boleh dikawal dan dicegah dengan dua perkara iaitu ilmu dan amal, yang mana untuk mengawal dan mencegah marah dengan ilmu itu ada enam iaitu yang pertama dengan bertafakur memikirkan kisah teladan yang menyebutkan tentang buruk baiknya bersifat marah, keutamaan menahan kemarahan, memberi maaf dan berlemah lembut.

Yang kedua, sentiasa ingat kepada seksa Allah dan percaya kekuasaan Allah ke atas dirinya lebih besar dari kekuasaan dirinya ke atas orang lain.

Yang ketiga, sentiasa mengingatkan dirinya bawah marah akan mengakibatkan berlakunya permusuhan dan dendam dan keempat, berfikir tentang bentuk buruk dirinya ketika marah dan kejinya sifat marah itu.

“Cara yang kelima dan keenam adalah dengan berfikir sebab yang membawanya kepada kemarahan dan dengan menyedari, kemarahan adalah punca dari sikap membanggakan diri sendiri yang tidak sesuai dengan kehendak Allah,” jelasnya.

Sementara itu, mengawal dan mencegah dengan amal perbuatan pula ialah dengan membaca ta’awudz iaitu memohon perlindungan kepada Allah dari syaitan yang direjam.

Jika kemarahan itu tidak hilang dengan membaca demikian, hendaklah ia duduk jika ia marah dalam keadaan berdiri, dan berbaring jika ia marah dalam keadaan sedang duduk dan mendiamkan diri.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea S sokong hantar bantuan kepada Korea U

SEOUL, 27 JAN – Kerajaan Korea Selatan hari ini berkata bahawa ia akan membantu usaha orang awam untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Korea Utara...
- Advertisment -