Kawalan lebih ketat di Australia

CANBERRA, 23 JUN- Menteri Kesihatan Australia Greg Hunt berkata terdapat kemungkinan beberapa kawasan akan dikenakan perintah sekatan pergerakan untuk membendung penularan COVID-19.

Beliau berkata hari ini bahawa langkah itu bagi mengatasi lonjakan kes yang berlaku di Victoria, Hunt, lapor agensi berita Xinhua.

“Ada kemungkinan sekatan pergerakan yang lebih ketat seperti yang dikenakan di barat laut Tasmania dan saya rasa penting untuk kita bersikap jujur tentang hal ini,” kata Hunt kepada Australian Broadcasting Corporation (ABC). Jawatankuasa Prinsipal Perlindungan Kesihatan Australia (AHPPC) dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, kebanyakan kes baharu yang dicatatkan dalam tempoh seminggu lalu, 116 (83 peratus) dilaporkan di Victoria.

“Kerajaan Victoria telah mengenal pasti kawasan Hume, Casey dan Brimbank, Moreland, Cardinia dan Darebin sebagai pusat wabak.

“AHPPC menasihatkan orang ramai tidak mengunjungi kawasan itu sehingga keadaan dapat dikawal,” tambah kenyataan itu.

Sementara itu di Victoria, Australia telah melaporkan 17 kes baharu COVID-19, sekali gus menyebabkan penutupan dua buah sekolah rendah di Melbourne.

Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews berkata terdapat kemungkinan berlakunya jangkitan komuniti dalam jangkitan kes baharu berkenaan.

Andrews berkata salah satu daripada kes baharu itu adalah individu yang dikuarantin di sebuah hotel, dua daripada tidak diketahui, tiga daripada ujian rutin dan 11 masih dalam siasatan.

Dua sekolah yang ditutup di sini juga adalah bagi membasmi kuman selepas beberapa pelajar dari sekolah berkenaan dikesan positif koronavirus. – Bernama/AFP