Kawalan perairan diperketat sekat kemasukan pelarian Rohingya

ALOR SETAR, 19 NOV – Polis Kedah memperketat kawalan di perairan negara bagi menyekat kemasukan pelarian etnik Rohingya yang dijangka berlaku berikutan kemenangan parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi pada Pilihan Raya Umum Myanmar, baru-baru ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata tumpuan turut diberikan di kawasan daratan di sepanjang sempadan Bukit Kayu Hitam ke Padang Besar, Perlis, yang melibatkan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta beberapa agensi penguatkuasaan kawalan di sempadan.

“Laluan laut kita ada Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin, manakala PGA dan ATM mengawal di darat.

“Masing-masing tahu tanggungjawab sendiri dalam Op Benteng… jadi kita kukuhkan lagi, saya tidak nafikan mungkin ada kemasukan pendatang asing tanpa izin dan kami akan perketat kawalan sama bagi menyekat kemasukan barang salah seperti dadah atau senjata api,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Kota Setar antara ACP Nor Azman Mohd Noor dengan penggantinya, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini hari ini. – Bernama