Kawalan sempadan diutamakan semasa banjir

TUMPAT, 20 NOV – Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor di sini memberi amaran kepada penyeludup agar tidak melakukan sebarang aktiviti penyeludupan di sepanjang Sungai Golok dekat ini ketika musim banjir, kerana pasukan itu sentiasa memperketat kawalan bagi membanteras aktiviti haram itu.

Pegawai Pemerintahnya ASP Mohd Rudzuan Ahmad berkata tanggungjawab mengawal sempadan negara akan terus dipergiatkan, walaupun pada masa yang sama anggota pasukan itu turut menguruskan bantuan tertentu kepada mangsa banjir di negeri ini.

“Saya beri amaran kepada penyeludup, jangan berfikir pasukan ini tidak menumpukan kawalan sempadan ketika banjir sebaliknya anggota bersiap sedia menangani keadaan itu. “Pasukan ini tidak leka sama sekali walaupun pada masa yang sama anggota akan membuat tugasan membantu pasukan lain dalam usaha membantu penduduk ketika musim banjir ini,” katanya kepada Bernama ketika melakukan pemantauan di sempadan negara di Sungai Golok di sini, hari ini.

Mohd Rudzuan berkata pasukan itu telah mengenal pasti sebanyak 95 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok yang aktif melakukan aktiviti penyeludupan di situ.

“Aktiviti penyeludupan biasanya membabitkan barangan makanan asas seperti beras, minyak masak, bahan bakar, tepung gandum, gula dan sebagainya. – Bernama

ASP Mohd Rudzuan Ahmad (kiri) bersama anggotanya membuat pemeriksaan Amphibian Sea Legs membuat pemeriksaan terhadap Amphibian Sea Legs bagi menghadapi musim tengkujuh tahun ini di Pengkalan Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor di sini. –Bernama