Kawasan ESSCOM akan dipinda, ditambah baik

KUALA LUMPUR, 27 OGOS – Kerajaan akan meminda dan menambah baik kawasan serta tempoh perintah berkurung di lokasi panas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) berdasarkan hasil risikan serta maklumat daripada pasukan keselamatan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata kerajaan juga akan mengenal pasti kawasan selamat sebagai kawasan bebas perintah berkurung.

“Pihak ESSCom bersama Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali melalui Jawatankuasa Keselamatan Negeri sentiasa mengkaji isu berkaitan perintah berkurung yang masih dilaksanakan sejak 19 Julai 2014,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, kawasan operasi ESSCom meliputi 10 daerah dengan tujuh daripadanya iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran masih dilanjutkan perintah berkurung selama 14 hari mengikut Seksyen 31 (4) Akta Polis 1967.

Sementara, tiga kawasan lagi iaitu Pitas, Kota Marudu dan Kudat diisytiharkan bebas perintah ESScom. – Bernama