Kawasan kejiranan bantu perniagaan trak makanan

LYNNWOOD, WASHINGTON – Pada satu malam di musim panas, dua buah trak makanan berhenti di tepian jalan yang dibarisi pokok di sebuah kejiranan di atas bukit di luar Seattle.

Bau daging panggang memenuhi udara, dan jiran-jiran di sana menyedut minuman teh boba. Kanak-kanak, orang remaja, ibu bapa dan anjing mereka duduk di atas rumput, berbual-bual dengan mengenakan penutup mulut dan hidung, bergelak ketawa dan memimik pelukan imaginasi untuk mengekalkan penjarakan fizikal sementara mereka menunggu makanan yang mereka pesan.

Sekian lama dilihat sebagai harta karun bandar, trak-trak makanan kini diselamatkan oleh kawasan-kawasan pinggir bandar ketika pandemik koronavirus melanda. Tidak lagi dapat bergantung pada kesibukan pusat-pusat bandar, perusahaan-perusahaan kecil di atas roda ini keluar mencari pelanggannya di mana orang-orang bekerja dan menghabiskan kebanyakan masa mereka, iaitu di rumah masing-masing.

Sementara trak-trak makanan ini mencari pelanggan mereka yang satu ketika dahulu menggerumuni mereka, mereka menemukan orang yang berkurung di rumah yang beria-ria untuk tidak memasak sendiri hidangan malam, mencuba makanan-makanan baharu dan bergaul dengan jiran-jiran pada malam yang terasa bagaikan malam bersiar-siar sementara masih lagi mengekalkan keselamatan berada dekat dengan rumah.

“Ini adalah musim perayaan, musim yang seronok. Banyak perkara yang kita selalu lakukan sebagai manusia, kita tidak dapat lakukannya lagi,” kata Matt Geller, presiden Persekutuan Trak Makanan Kebangsaan. “Berjalan keluar menuju ke trak makanan adalah terasa normal, dan ia terasa bagus sekali.”

Trak makanan Dreamy Drinks dan YS Street Food diletakkan di tepi jalan di kawasan pinggir bandar Lynnwood, Washington, utara Seattle. – AP
Yuli Shen mengambil pesanan di trak makanan YS Street Food miliknya. – AP
Para pelanggan berbaris di hadapan trak makanan Dreamy Drinks untuk membuat pesanan mereka. – AP

Pemilik YS Street Food Group Yuli Shen telah menemukan kejiranan di atas bukit Seattle melalui Facebook, dan bersama-sama dengan rakannya yang mengendalikan trak minuman teh boba Dreamy Drinks dia pergi ke sana dan melayan pelanggan selama tiga jam.

Ia merupakan satu perubahan dan satu kelegaan kepada Shen. Sebelum pandemik, dia mencari rezeki di kawasan kampus Amazon berdekatan pusat bandar Seattle, di mana ramai pekerja pejabat akan berbaris untuk makan tengah hari. Pada Julai lalu, dia berusaha keras untuk mencari tempat baharu.

“Sangat sukar untuk mencari kawasan tempat meletakan (trak makanan), dan kami harus mencari tempat lain dan orang lain. Semakin sukar untuk menjalankan perniagaan, namun tetap kami gagahi,” ujar Shen.

Waktu makan tengah hari pada hari-hari biasa merupakan waktu trak makanan biasa meraih keuntungan besar, yang boleh mengaut AS$800 ke AS$1,200 sehari, kata Geller. Dan kemunculan mereka di festival-festival utama musim panas dan acara-acara komuniti dapat menampung mereka sebelum kedatangan musim sejuk di mana pendapatan akan berkurangan.

Semenjak perintah untuk berada di rumah dikeluarkan awal tahun ini menyebabkan pusat-pusat bandar menjadi kosong dan perkumpulan-perkumpulan dibatalkan, banyak perusahaan trak makanan, restoran-restoran jalanan, ditutup dan tidak pasti adakah ia akan dibuka kembali.

Trak-trak makanan telah menyesuaikan model perusahaan mereka semasa pergi ke pinggir bandar. Mereka menumpukan kepada hidangan makan malam, menambah pilihan makanan yang mesra kanak-kanak dan bersedia untuk menerima pesanan dalam jumlah yang besar. Kejiranan baharu bermakna mereka kurang pasti berapa ramai pelanggan yang akan mereka dapat dan membuat pertaruhan berapa banyak makanan yang harus mereka bawa. Untuk mengelakkan perkara tersebut, banyak pengusaha menyeru pelanggan-pelanggan mereka untuk membuat pesanan secara dalam talian terlebih dahulu.

Geller berkata berpindah ke kawasan pinggir bandar merupakan rahmat kepada trak-trak makanan di tempat-tempat seperti Seattle, Nashville, Tennessee, dan Austin, Texas. Beliau berkata orang-orang di pinggir bandar terus berhubung dengan jiran-jiran semasa COVID-19 menerusi kumpulan Facebook, di mana perkumpulan trak makanan diiklankan.

B.J.Lofback membuat keputusan untuk mengubah trak makanan dan restoran Nashvillenya daripada makanan Korea yang memerlukan ramai pekerja setelah memberhentikan hampir semua kakitangannya ketika perniagaan merudum. Beliau menjenamakannya semula sebagai Pinchy’s Lobster Co. dan kini menjual gulungan lobster, yang sebahagian besarnya disediakan sendiri olehnya.

Tanpa waktu makan tengah hari dan acara-acara muzik di pusat bandar Nashville seperti kebiasaannya, dia dan pengusaha trak makanan lainnya mula mencari persatuan-persatuan pemilik rumah dalam pecahan yang besar. Ia telah menjadi satu kejayaan, dia tidak rindu dengan jadual acara yang memeningkan kepala, mahal. Kini, dia dapat menyimpan semua wang yang diperolehnya, tidak perlu membayar 20 peratus daripada keuntungannya sebagai yuran acara.

“Ia berhasil,” kata Lofback. “Saya secara peribadi, saya berharap sekiranya ada vaksin yang dikeluarkan esok dan kumpulan yang imun wujud pada hari esok, saya berharap kejiranan-kejiranan ini masih mengalu-alukan kami.”

Piroshky Piroshky, sebuah institusi Seattle di Pike Place Market yang ikonik, kehilangan 90 peratus daripada perusahaan jalanannya ketika pandemik melanda, kata pengurus operasinya Brian Amaya.

Perusahaan roti itu bertukar ke jualan secara dalam talian, penghantaran ke rumah dan acara-acara trak makanan. Ia menampilkan pai buatan tangannya yang terkenal pada beberapa acara dan berjaya menjualnya seperti hari-hari biasa di kedai. Perusahaan yang berusia 28 tahun itu mempertimbangkan untuk menambah trak makanan keduanya.

“Ia cukup untuk membayar pekerja-pekerja kami dan menampung kos serta mendapat sedikit keuntungan untuk kami meneruskannya,” ujar Amaya.

Idea tersebut juga merupakan sesuatu yang baharu kepada Julie Schwab sebelum dia mengadakan acara-acara yang telah menjadi ristaan trak makanan berdekatan Lynnwood, Washington, kira-kira 16 batu (25km) di utara Seattle.

Pemilik-pemilik perniagaan bertanya adakah benar sebuah trak mampu mendapat sehingga AS$4,000 dalam masa satu malam. Dia memberitahu mereka trak-trak makanan mampu mendapat daripada AS$1,000 hingga AS$4,000 dalam satu syif.

Ahli psikologi sekolah tinggi itu turut memberi nasihat kepada komuniti-komuniti yang ingin menceburkan diri dalam perniagaan trak makanan.

“Anda tengok apa yang terjadi apabila orang ramai keluar, dan mengenali antara satu dengan yang lain,” kata Schwab, sambil menambah bahawa orang-orang tersebut menggunakan penutup mulut dan hidung dan menjaga jarak antara mereka.

“Ia sangat bagus untuk membina sebuah komuniti meski berhadapan dengan pandemik ini.” – AP