Kawasan parkir, lapang antara tempat peserta kembara bersolat

DALI, CHINA, 26 Julai – Tempat letak kereta, surau di gerai, ruang lapang di dalam bangunan di kawasan rehat lebuh raya serta kawasan terbuka sering dijadikan tempat untuk bersolat bagi lapan peserta Kembara Inspirasi Haji yang kini dalam perjalanan berkereta dari Kuala Lumpur ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji tahun ini.

Walaupun menempuh jarak perjalanan ratusan kilometer setiap hari, namun mereka tidak pernah lalai daripada menunaikan kewajipan itu sejak hari pertama memulakan pengembaraan.

Setiap kali masuk waktu solat, mereka akan berhenti di mana-mana tempat yang difikirkan sesuai untuk mendirikan solat.

Beralaskan tikar mengkuang, solat dilakukan secara jamak dan berjemaah, diimamkan oleh Zikri Fuad Abdul Salam, 43, serta turut disertai satu-satunya peserta wanita Zuraini Abdul Malek, 36.

Tindakan mereka itu sering kali menarik perhatian penduduk tempatan dan orang ramai yang kebanyakannya bukan beragama Islam.

Menurut Pengarah Projek Kembara Inspirasi Haji, Khir Ariffin, solat amat penting dan perlu dijaga walaupun mereka dalam perjalanan jauh.

Peserta Kembara lazimnya melakukan solat subuh di masjid tempat mereka menginap semalaman jika terdapat masjid di situ seperti di The Grand Mosque of Shadian dan masjid lama di Dong Lian Hua, di sini.

Sementara solat Zohor dan Asar serta Maghrib dan Isyak didirikan secara jamak qasar, iaitu dihimpunkan kedua-dua waktu solat dalam satu waktu dan solat yang empat rakaat dipendekkan menjadi dua rakaat sahaja.

Para peserta Kembara Inspirasi Haji itu telah seminggu berada di atas jalan yang melibatkan jarak perjalanan 4,050 kilometer sejak mereka memulakan pengembaraan di Kuala Lumpur pada 18 Julai lepas.

Mereka telah melalui tiga negara, Thailand, Laos dan kini China yang meliputi enam bandar dan bandar raya. – Bernama