Sunday, December 8, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kawasan pencarian lima pemancing dikhuatiri lemas diperluas

    KUCHING, 7 OKT – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebuah bot bersama lima pemancing yang dilaporkan tidak pulang selepas menuju ke kawasan perairan Karang Berumput dan Tukun Bass dari Santubong sejak 1 Oktober lepas diperluas hingga 526.74 batu nautika persegi.

    Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata operasi yang memasuki hari kelima itu tertumpu di sekitar perairan Tanjung Datu, 15 batu nautika dari pesisir pantai dan ke atas.

    “Setakat 10:30 pagi ini, pasukan SAR masih belum menemukan sebarang petunjuk baharu, petunjuk yang ada buat masa ini adalah penemuan boya berwarna jingga yang dijumpai pada hari pertama SAR 3 Oktober lepas,” katanya dalam satu sidang media mengenai operasi SAR hari ini.

    Lima mangsa yang hilang itu ialah Khamizan Saidi, 40; Ng Ching Hui, 36; Christopher Teo, 32; Yap Tze Kang, 41; dan Leo Dy Lee Jiann Tarn, 35.

    Sementara itu, Zin Azman menasihatkan komuniti maritim agar membatalkan niat mereka ke laut buat masa ini sekiranya cuaca tidak baik. “Keadaan di laut pada masa ini kurang baik terutamanya keadaan Monsun Timur Laut yang bermula bulan ini hingga Mac tahun hadapan,” katanya. – Bernama

    Bot polis bergerak dari Jeti Telaga Air terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebuah bot bersama lima pemancing yang dilaporkan tidak kembali selepas menuju ke kawasan perairan Karang Berumput serta Tukun Bass dari Santubong sejak 1 Oktober lalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda