Kawasan rendah di Tutong, Belait dilanda banjir

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Hujan lebat yang turun beberapa hari kebelakangan ini telah menyebabkan beberapa kawasan rendah mengalami banjir khususnya kawasan-kawasan pedalaman di Daerah Tutong dan Daerah Belait.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Cawangan Operasi B dan Cawangan Operasi E telah membuat pemantauan ke kawasan-kawasan yang terjejas oleh banjir di Mukim Sukang, Daerah Belait dan Mukim Rambai, Daerah Tutong, baru-baru ini.

Sementara itu, tinjauan ke Mukim Rambai diketuai oleh Stesen Komander Balai Bomba Lamunin, Daerah Tutong, Timbalan Pengawai Balai Robert anak Uja, mendapati ketinggian air banjir mencecah 1 meter.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa semasa negara dilanda penularan wabak COVID-19, JBP turut terlibat dalam mengambil berat mengenai keluarga mangsa-mangsa banjir.

JBP dalam kenyataannya lagi menyarankan mereka yang terlibat untuk memastikan pintu rumah dan jendela dalam keadaan ditutup jika mereka tidak berada di dalam rumah bagi mengelakkan binatang-binatang liar seperti biawak, ular, buaya dan sebagainya memasuki rumah mereka serta sentiasa memastikan dan menjaga kanak-kanak supaya tidak bermain dengan air takungan atau longkang akibat banjir kerana ia boleh mendatangkan penyakit.

Mereka juga disarankan sentiasa mengikuti perkembangan dan nasihat serta amaran mengenai maklumat keadaan cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam melalui siaran RTB, melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau mengikut laman sosial Facebook (bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi mudah alih, Brunei WX serta menghubungi Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan di talian, 2380266 atau 7190522.

Rumah guru-guru di Sekolah Rendah Sukang, Belait yang dilanda banjir dipantau rapi oleh anggota JBP.
ATAS & BAWAH: Pegawai dan anggota Bomba dan Penyelamat dari Cawangan Operasi B Daerah Belait dan Cawangan Operasi ‘E’ Daerah Tutong membuat pemantauan ke kawasan terjejas banjir di Mukim Sukang dan Mukim Rambai. – Gambar serahan JBP