Kawasan riadah Program BKC diperluaskan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Dalam usaha bagi memudahkan orang ramai dan meluaskan lagi kawasan untuk aktiviti beriadah bersama keluarga, beberapa laluan tambahan bagi Program Bandarku Ceria (BKC) telahpun diperkenalkan.

Antara lain tujuan laluan tambahan ini diperkenalkan adalah bagi memberikan peluang kepada pengunjung terutamanya bagi pekayuh basikal untuk menggunakan laluan yang lebih mencabar dan tidak terhad kepada laluan yang sedia ada sebelum ini.

Laluan tambahan Program BKC itu nanti akan meliputi kawasan sejauh 5.2km yang melibatkan beberapa buah kawasan di ibu negara.

Demikian telah dikongsikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said, semasa Sidang Media bagi Laluan Tambahan Program BKC, yang diadakan di Dewan Citra, Bangunan KKBS, hari ini.

Jelasnya, laluan-laluan tersebut ialah Jalan Menteri Besar – bermula dari pusing keliling Jabatan Perdana Menteri hingga lampu isyarat simpang empat berhadapan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.

Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin (tengah) ketika menunjukkan poster laluan tambahan bagi Program Bandarku Ceria pada sidang media, kelmarin.

Jalan Pusat Persidangan – halakiri dari lampu isyarat simpang empat Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan melepasi Bangunan Persatuan Bolasepak Negara Brunei Darussalam (NFABD), hala kiri masuk Jalan Stadium dan hala kanan menuju tangga besar Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Jalan Stadium – dari tangga besar Stadium Negara Hassanal Bolkiah, hala kiri memasuki Jalan Stadium balik melalui laluan yang sama menuju pu-sing keliling Jabatan Perdana Menteri – dibukakan keseluruhannya.

Manakala jalan-jalan yang ditutup adalah Jalan Menteri Besar berhadapan dengan Istana Edinburgh; dari lampu isyarat persimpangan tiga Jalan Stadium menuju ke Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Sementara itu, jalan-jalan yang boleh digunakan oleh orang ramai yang hendak menuju ke pusat bandar ialah dari Kompleks Jabatan Kerajaan, hala kiri melalui Jalan Perdana Menteri melintasi Kementerian Pertahanan dan hala kanan di persimpangan tiga melintasi Bangunan AITI dan memasuki Jalan Stadium menuju ke pusing keliling Pusat Dakwah Islamiah dan hala kiri ke Jalan Kebangsaan.

Dari kompleks jabatan kerajaan, hala kiri memasuki Jalan Pertahanan hingga ke persimpangan tiga Jalan Perdana Menteri, hala kanan, seterusnya memasuki persimpangan tiga melintasi Bangunan AITI dan memasuki Jalan Stadium menuju ke pusing keliling Pusat Dakwah Islamiah dan hala kiri ke Jalan Kebangsaan.

Dari pusing keliling berakas, hala kiri di persimpangan tiga melintasi Bangunan AITI dan memasuki Jalan Stadium menuju ke pusing keliling Pusat Dakwah Islamiah dan hala kiri ke Jalan Kebangsaan.

Sementara itu, menurut Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Penguasa Kanan Haji Abdul Salam bin Pengiran Haji Abdul Ghani, dalam sidang media menjelaskan bahawa dalam sama-sama menjaga keselamatan, orang ramai yang berkunjung atau menyertai riadah BKC (terutama penunggang basikal, berlari dan berjalan kaki) dan juga pengguna jalan raya (terutama pemandu-pemandu kenderaan) adalah dinasihati mematuhi segala arahan pihak berkuasa dan pihak Jawatankuasa BKC.

Menurutnya, bagi orang ramai mengikuti aktiviti BKC seperti berbasikal, berlari atau berjalan kaki tidak dibenarkan sama sekali menggunakan laluan kenderaan, mereka hendaklah mengikuti laluan yang dikhaskan oleh jawatankuasa sahaja dan memastikan riadah tidak melebihi masa yang telah diperuntukkan oleh Jawatankuasa BKC.

“Pengguna hendaklah mengetahui laluan dan kawasan yang digunakan atau yang telah dikhaskan untuk pengunjung BKC; penjaja tidak dibenarkan berjaja di tepi-tepi jalan dan hendaklah mematuhi syarat yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa; pengunjung ke riadah BKC hendaklah meletakkan kenderaan mereka di tempat atau di sepanjang laluan yang dikhaskan atau dibenarkan sahaja dan jangan menghalang laluan kenderaan lain,” tambahnya.

Manakala Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama (KSSUP) dan Pelancongan, Awang Saidin bin Namit, dalam sidang media tersebut pula mengongsikan bahawa KSSUP dengan kerjasama KKBS dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri akan mengadakan Program Pasar Kitani yang bertepatan dengan Program BKC.

Menurutnya, program tersebut adakan diadakan di kawasan Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan kepada pengusaha-pengusaha dan peladang-peladang yang ikut serta dalam Pasar Kitani dan juga kepada orang ramai yang berhajat untuk mengunjungi pasar berkenaan akan menggunakan jalan yang tidak terjejas iaitu daripada Jalan Perdana Menteri, melalui Jalan Stadium dan juga simpang menuju ke Hotel Mulia.

Manakala Pegawai Perubatan Kanan, Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Norhayati binti Haji Ahmad menasihatkan bahawa walaupun di Brunei pada masa ini tidak ada kes COVID-19, orang ramai masih dinasihatkan untuk mematuhi nasihat-nasihat dan garis pandu daripada Kementerian Kesihatan dan sekiranya demam, batuk atau selesema tidak disyorkan untuk datang ke BKC.

Turut hadir di sidang media tersebut ialah Pemangku Pengarah Jalan Raya, Jabatan Kerja Raya, Awang Rafitra bin Haji Abdul Razak; Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Awang Aminuddin bin Haji Buntar; dan Pemangku Pengarah Pengangkutan Darat, Jabatan Pengangkutan Darat, Haji Rozaly bin Haji Saidon.