CHIBAYISH, IRAQ – Iraq merupakan sebuah negara yang terkenal memiliki tanah paya yang begitu luas tetapi laluan sungai yang semakin kering dan ‘tersumbat’ akibat dihalang dengan sisa-sisa sampah yang menyebabkan tanah paya di negara itu berisiko tinggi mengalami kepupusan, aktivis alam sekitar memberi amaran.
Pengarah Pertubuhan Ekope-lancongan Chibayish, Raad Al-Assadi, yang mula bekerja di atas bot untuk cuba membersihkan beberapa kawasan yang paling teruk terjejas dengan sampah-sarap turut mengongsikan mengenai penduduk di tempat tersebut telah melindungi tanah paya berkenaan selama 6,000 tahun atau 7,000 tahun.
“Tetapi kita telah mencapai tahap di mana tanah paya tersebut terancam dan di ambang kepupusan,” katanya.
Sementara itu, mengenai paya berkenaan, ia terletak di antara sungai Tigris dan Euphrates, adalah salah satu delta pedalaman terbesar di dunia.
Tanah lembap itu hampir tidak terlepas daripada kemarahan Saddam Hussein semasa pemerintahannya, yang mengarahkan ia dikeringkan pada tahun 1991 sebagai hukuman bagi masyarakat yang melindungi pemberontak dan memburu mereka.
Bagaimanapun, sebaik sahaja Saddam Hussein digulingkan, Iraq berikrar untuk mengekalkan ekosistem dan menawarkan perkhidmatan yang berfungsi kepada perkampungan tanah paya, dan ia telah ditetapkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2016 untuk biodiversiti serta sejarah purba.
Pelancong telah kembali, tetapi salah satu punca pencemaran yang paling ketara di kawasan tersebut, menurut Assadi, adalah pelancong yang membuang ‘sampah plastik’ mereka.
‘Hargai tanah kami’
Menurut data yang dikumpulkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan ahli akademik, Iraq tidak mempunyai mekanisme untuk pengumpulan dan pelupusan sampah selepas perang sengit yang berlaku berdekad-dekad lamanya, dan 70 peratus daripada sisa industrinya dibuang terus ke dalam sungai atau laut.
Sekumpulan 10 individu menaiki bot dan menyusuri laluan air yang sempit, mengumpul timbunan botol plastik dan memasang sepanduk memohon orang ramai untuk ‘menghargai tanah kita’ dan dinasihatkan untuk tidak membuang sampah merata-rata.
Tetapi perkara tersebut bukanlah satu-satunya ancaman yang dialami oleh negara berkenaan kerana beberapa isu alam sekitar termasuk kemarau dan penggurunan (desertification) telah menjejaskan akses kepada air dan mata pencarian di seluruh negara.
PBB meletakkan Iraq sebagai ‘negara kelima paling terdedah di dunia’ kepada perubahan iklim, memetik dari rekod hujan dan suhu tinggi baru-baru ini.
Paras air paya yang semakin menurun, keadaan yang diburukkan lagi dengan kemarau yang kerap berlaku dan empangan yang dibina di hulu dua sungai oleh negara jiran, iaitu Turki dan Iran.
Sementara itu, semasa perasmian projek bot yang dibiayai oleh Perancis, Duta Besar Perancis, Eric Chevallier mengatakan bahawa ekosistem di tanah paya yang mempunyai kepelbagaian biologi yang luar biasa itu telah terancam.
Chevallier menggesa untuk ‘usaha yang lebih mantap, sama ada secara domestik dan antarabangsa, untuk menangani semua masalah’ yang berbangkit akibat pemanasan global.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, beberapa siri ribut pasir telah menyelubungi Iraq, menyebabkan orang ramai memerlukan rawatan perubatan kerana masalah pernafasan.
Debu dan ribut pasir telah lama melanda negara-negara Timur Tengah, tetapi ia menjadi lebih biasa dan teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Penggunaan air sungai secara berlebihan, peningkatan dalam pembinaan empangan, kawasan ragut berlebihan dan penebangan hutan semuanya telah dikaitkan dengan trend tersebut.
Sementara itu, pengutip sampah bukanlah satu-satunya skuad pelik yang berada di paya tersebut, malah pada awal tahun ini, Pertubuhan Iklim Hijau Iraq melancarkan ambulans veterinar untuk membantu petani dengan rawatan pada kerbau air mereka. – AFP