Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Kay Khydir dekati peminat melalui TikTok

    Semangat Kay Khydir untuk terus berjuang mengembangkan bakat seni yang ada pada dirinya tidak pernah pudar meskipun rezeki untuk dikenali ramai masih belum menyebelahi.

    Kay atau nama sebenar Nur Khaidir Muhid, 34, menegaskan tidak akan sesekali berputus asa, sebaliknya terus berusaha mencari peluang untuk menempatkan diri dalam industri.

    Terbaru, bekas peserta program realiti, Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) dan Lagu Cinta Kita 3 (LCK3) itu mula aktif di platform TikTok untuk mencuba peluang berbeza.

    “Sebenarnya saya baru sahaja berjinak-jinak dengan TikTok. Sebelum ini saya berasakan platform ini tidak sesuai dengan saya dan saya kurang selesa nak buat video-video untuk tular.

    “Bagaimanapun lama kelamaan saya dapat rasakan impak positif yang ada di situ, selain para pengikutnya yang saling memberikan sokongan.

    Kay menegaskan tidak akan sesekali berputus asa, sebaliknya terus berusaha mencari peluang untuk menempatkan diri dalam industri. – Agensi

    “Alhamdulillah sejak aktif di TikTok sekitar Ogos tahun lalu, saya dapat semangat baharu, sekali gus mendorong untuk terus bekerja keras dan mengatur langkah dalam bidang seni,” ujarnya.

    Lebih menggembirakan, kata Kay, sebahagian besar pengikutnya di TikTok hadir memberikan sokongan ketika menjayakan Konsert Revolusi 2022 – Todak Music & Friends yang berlangsung di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) baru-baru ini.

    “Saya benar-benar menghargai peminat dan pengikut di TikTok sehingga menukar nama kelab peminat daripada Kay Khydir Supporters kepada Kesayangan Kesayangan Saya (KKS).

    “Dua tahun dunia dilanda pandemik dan dalam tempoh itu aktiviti seni terhenti seketika menyebabkan saya dan rakan-rakan lain tidak dapat tampil membuat persembahan secara bersemuka.

    “Jadi hanya dengan berkomunikasi menerusi platform media sosial sahaja, kami dapat berkongsi perkembangan terkini selain mendekatkan diri dengan peminat,” katanya.

    Menyentuh tentang kerjaya seni, Kay memaklumkan bakal tampil dengan single baharu berjudul Ulang yang menyaksikan kolaboratif sulung bersama Shiha Zikir.

    “Saya tidak pernah terfikir mencari jalan mudah untuk dikenali dengan melakukan gimik atau kontroversi. Mungkin laluan saya sedikit berliku berbanding orang lain, tetapi saya tetap percaya kepada rezeki.

    “Alhamdulillah selepas bernaung di bawah label Todak Music, banyak perancangan sedang dilakukan termasuk penghasilan single baharu berjudul Ulang.

    “Berbeza dengan single terdahulu, karya ciptaan Iqie Hugh dan John Jeeves itu memberikan saya cabaran berbeza dalam genre pop. Lebih istimewa ia turut menampilkan sahabat baik saya sendiri, Shiha Zikir,” jelasnya.

    Tambah Kay lagi, selain memberi fokus kepada bidang nyanyian, dia juga tidak menolak peluang mengembangkan bakat dalam lakonan dan pengacaraan. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...