Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Kayu terpakai jana ekonomi Sambalandcheese

    MELAKA – Menggunakan kayu terpakai dikutip dari rumah lama yang telah roboh memberi kelainan kepada hasil produk kayu baharu Sambalandcheese yang diasaskan oleh warga Malaysia dan Perancis sejak sembilan tahun lepas.

    Samsul Kamar Abdul Rahman, 35, yang menerajui perniagaan itu bersama pengasas tempatan iaitu Mohammad Farris Che Abdul Aziz, 35, berkata mereka berkecimpung dalam industri pembuatan kayu terpakai itu bertujuan mengurangkan penggunaan kayu baharu selain ia mudah diperoleh.

    Beliau berkata antara produk yang dihasilkan ialah perabot seperti almari pakaian, meja makan, bingkai cermin serta perhiasan dinding, dan produk tersebut dihasilkan mengikut cita rasa atau rekaan pelanggan di bengkel kecil mereka yang terletak di Banda Hilir di sini.

    “Keistimewaan produk kayu Sambalandcheese ialah kami menghasilkan produk baharu menggunakan kayu terpakai dan kami mengekalkan warna atau corak asli kayu terpakai berkenaan sekali gus memberikan daya penarik kepada produk tersebut.

    “Kayu terpakai yang digunakan kebanyakannya masih dalam keadaan elok dan utuh selain mempunyai warna asli yang tidak memerlukan kemasan akhir yang terlalu rumit…cukup hanya dengan sapuan lekar,” katanya kepada Bernama pada Kembara RIUH Keluarga Malaysia Edisi Ketiga: RIUH NAU! di Dataran Pahlawan, kelmarin.

    Usahawan produk kayu, Mohammad Farris Che Abdul Aziz (kanan) membantu peserta bengkel pembuatan produk kayu Jaimie Yeow Yi Wen (kiri) mengendalikan mesin pemotong bagi menyiapkan produk perhiasan dinding yang dihasilkan daripada kayu terpakai ketika ditemui pada Kembara RIUH Keluarga. – Bernama
    Samsul Kamar Abdul Rahman menunjukkan produk perhiasan dinding yang dihasilkan daripada kayu terpakai. – Bernama

    Beliau berkata produk kayu menggunakan kayu terpakai mendapat permintaan tinggi dalam kalangan rakyat tempatan dan pelancong asing terutama dari Perancis, Singapura dan Thailand.

    Katanya, platform utama promosi serta jualan produk mereka adalah secara bersemuka atau dalam talian menerusi Instagram Sambalandcheese dan tempoh bagi menghasilkan sesuatu produk berkenaan bergantung kepada rekaan diminta pelanggan.

    Mengulas tentang penyertaan Sambalandcheese pada Kembara RIUH Keluarga Malaysia yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat, Samsul Kamar berkata ia bertujuan memperkenalkan produk mereka selain membuka peluang kepada orang ramai untuk menghasilkan produk kayu rekaan bermula daripada proses rekaan sehingga kemasan akhir.

    Beliau berkata peserta bengkel hanya perlu membayar RM50 sebagai yuran penyertaan dan mereka boleh membawa pulang hasil kerja kayu tersebut iaitu perhiasan dinding sebagai kenangan.

    “Di sini, peserta akan diajar dan dibantu menggunakan gergaji atau mesin pemotong selain berpeluang memilih atau mereka sendiri rekaan yang ingin dihasilkan.

    “Rata-rata peserta dapat menghasilkan produk kayu mereka dalam tempoh dua hingga empat jam.

    “Kita juga berharap peserta bengkel dapat meningkatkan keberanian atau keyakinan mereka dalam menghasilkan sesuatu produk kayu kerana ia memerlukan fokus yang tinggi terutama ketika menggunakan mesin pemotong atau gergaji,” katanya.

    Sementara itu, peserta bengkel Jaimie Yeow Yi Wen, 20, dari Bukit Beruang, di sini berkata beliau teruja menyertai bengkel pembuatan produk kayu berkenaan untuk merasai pengalaman mengendalikan mesin pemotong selain ingin menghasilkan produk kraf kayunya sendiri.

    “Saya tahu tentang bengkel ini daripada laman media sosial Instagram…rasa seronok bila dapat hasilkan sendiri produk kayu kerana saya memang minat barangan kraf,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang arkitek.

    Beliau berkata bengkel seumpama itu perlu dianjurkan dengan kerap agar lebih ramai dapat mempelajarinya selain memupuk golongan muda untuk terlibat dalam bidang kraf. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...