ALMATY, 9 NOV – Kazakhstan, pengeluar uranium terbesar di dunia, hari ini mengumumkan satu perjanjian jangka panjang untuk membekalkan logam radioaktif itu ke China, ketika negara Asia Tengah yang kaya dengan sumber itu meningkatkan kerjasama dengan Beijing.
Perjanjian itu dicapai antara syarikat atom nasional, Kazatomprom dan China National Uranium Corporation Limited untuk menghantar sejumlah bijih uranium asli yang tidak ditentukan, yang digunakan dalam kitaran bahan api nuklear.
“Jumlah dan syarat khusus kontrak tidak boleh didedahkan atas dasar kerahsiaan dan sensitiviti komersial,” kata Kazatomprom dalam satu kenyataan.
“Kontrak dengan syarikat tenaga utama China ini akan menyumbang kepada memenuhi keperluan tenaga bersih dan sifar bersih China yang semakin meningkat, sambil mengukuhkan hubungan jangka panjang bersejarah antara kedua-dua negara dalam industri nuklear,” kata syarikat itu. – AFP
