Kazakhstan bentuk kabinet baharu

NUR SULTAN, 19 JAN – Kazakhstan membentuk kerajaan baharu pada Isnin susulan pilihan raya parlimen pada 10 Januari, lapor agensi Anadolu.

Presiden Kassym-Jomart Tokayev menandatangani keputusan mengenai penubuhan Kabinet baharu diterajui Askar Mamin, yang akan terus berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

Alikhan Smailov, Roman Sklyar dan Yeraly Tugzhanov sekali lagi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Sementara Menteri Luar, Mukhtar Tleuberdi juga akan memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Aset Irgaliyev dinamakan sebagai Menteri Ekonomi dan Serik Shapkenov Menteri Buruh dan Perlindungan Sosial.

Menteri yang masih mengekalkan jawatan termasuk Menteri Dalam Negeri Yerlan Turgumbayev, Menteri Pertahanan Nurlan Yermekbayev, Menteri Tenaga Nurlan Nogayev, Menteri Penerangan dan Pembangunan Sosial Aida Balayeva, Menteri Pertanian Saparhan Omarov, Menteri Kehakiman Marat Beketayev dan Menteri Pendidikan dan Sains Ashat Aimagambetov.

Turut mengekalkan portfolio masing-masing Menteri Kesihatan Alexey Tsoy, Menteri Pembangunan Industri dan Infrastruktur Beibut Atamkulov, Menteri Kewangan Yerulan Jamaubayev, Menteri Kebudayaan dan Sukan Aktoty Raimkulova, Menteri Perdagangan dan Integrasi Bakhyt Sultanov, Menteri Pembangunan Digital, Inovasi dan Aeroangkasa Bagdat Musin, Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli Magzum Myrzagaliyev dan Menteri Situasi Kecemasan Yuriy İlyin. – Bernama