Terbuka untuk menerima lebih banyak tawaran berlakon, penceramah bebas Datuk Kazim Elias bagaimanapun menetapkan syarat-syarat tertentu sebelum memberi kata setuju kepada mana-mana produksi.
Bagi Kazim, 52, penglibatan golongan agamawan sepertinya juga membuktikan industri filem boleh menjadi medium terbaik untuk mendidik masyarkat.
Malah dia juga berhasrat untuk menepis stigma sesetengah golongan yang menganggap kerjaya sebagai penggiat seni melalaikan.
“Jika ada yang mahu panggil berlakon saya tidak ada masalah. Malah saya juga terbuka untuk membawa pelbagai watak dan tidak semestinya sebagai seorang ustaz.
“Tetapi syarat utama yang saya tetapkan adalah tiada babak bersentuhan antara lelaki dan wanita. Selain itu juga perlu menjaga waktu solat.
“Saya mahu jadikan industri filem ini sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Tanggapan masyarakat juga boleh berubah.
“Jadi mungkin selepas ini saya boleh ajak lebih ramai rakan-rakan ustaz terlibat sebagai pelakon, penulis skrip atau apa sahaja berkaitan,” katanya.
Menurut mStar, Kazim berkongsi perkara itu ketika mempromosikan filem terbaharu lakonannya berjudul Zim Zim Ala Kazim yang bakal memulakan tayangan pada 13 Jun ini.
Mula melangkah secara serius dalam bidang lakonan, Kazim juga sudah bersedia dengan pelbagai pandangan buruk serta kecaman warganet yang mungkin kurang senang melihat seorang tokoh ilmu agama terlibat dengan dunia seni.
“Saya sudah terlibat dalam bidang dakwah selama 34 tahun. Pelbagai cabaran yang telah saya hadapi termasuk orang tidak suka.
“Begitu juga dalam dunia lakonan ini, pastinya akan ada yang mula kecam apabila saya berlakon. Mungkin lima tahun akan datang baru orang akan nampak alasan saya buat begini,” ujarnya. – Agensi