KB FT kecewakan Akhdan

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 14 JULAI – KB FT berjaya mengekang serangan lewat Pasukan Akhdan untuk meraih kemenangan tipis 2-1 dalam saingan Kumpulan B, Kejohanan Bola Sepak Daerah Belait 2019, yang berlangsung di Padang Bola Sepak Seria Arena kelmarin.

Dalam perlawanan itu, KB FT memulakan perlawanan dengan baik apabila meraih gol pembukaan pada minit ke-12 menerusi Nur Hazwan Khan bin Asmah Khan dan kedudukan kekal 1-0 sehingga rehat separuh masa perlawanan.

KB FT menggandakan jaringan mereka tidak lama selepas sepak mula separuh masa kedua menerusi jaringan Mohd Airul Hamrey bin Mohd Norshaney.

Namun Pasukan Akhdan enggan menyerah apabila berjaya mengurangkan kelebihan KB FT dengan menjadikan kedudukan 2-1 menerusi Abdul Hakeem Hafizuddin bin Saney pada minit ke-57. Walau bagaimanapun, Akhdan gagal menembusi pertahanan KB FT bagi jaringan kedua dan akhirnya terpaksa akur dengan keputusan itu.

Perlawanan seterusnya bagi kejohanan itu, yang merupakan anjuran Persatuan Bola Sepak Daerah Belait, akan menyaksikan Hoist FT menentang JDB FT pada 21 Julai di venue yang sama. Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan hadir bagi sama-sama memeriahkan kejohanan tersebut dan menyokong pasukan pilihan masing-masing.

Antara aksi menarik dalam perlawanan di antara KB FT dan Akhdan. KB FT menang 2-1. – Gambar oleh Jeffrey Jamaluddin PBDB