KBBM cetus semangat hasilkan produk tempatan

KUDAT – Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) mampu melonjakkan usaha usahawan tempatan di Sabah untuk menitikberatkan aspek kualiti produk yang mampu bersaing dengan produk berjenama di pasaran.

Pengasas LZ Industry Sdn Bhd Zaharinah Masair berkata kempen itu berupaya mencetus semangat golongan usahawan sepertinya kerana ia dilihat sebagai satu bentuk sokongan padu kerajaan dalam mengetengahkan produk tempatan.

“Bagi saya, KBBM juga mampu menjadi platform dalam meningkatkan keyakinan terhadap mutu produk tempatan, malah mungkin pasaran luar juga akan tertarik, percaya dan yakin dengan produk buatan Malaysia kerana adanya sokongan promosi daripada kerajaan menerusi kempen seumpama ini.

“Ia secara tidak langsung membantu usahawan bangkit semula selepas terjejas akibat pandemik COVID-19 seterusnya menyumbang kepada peningkatan pendapatan dan membuka peluang pekerjaan sekali gus memperkasa semula ekonomi,” katanya kepada Bernama di kilang kosmetik miliknya di sini.

Beliau berkata kempen seumpama ini diharap dapat dilaksanakan secara konsisten supaya semua usahawan tempatan sentiasa bersemangat serta bermotivasi untuk terus komited meningkatkan mutu, kualiti dan produktiviti masing-masing sebagai usaha mengembangkan lagi potensi perniagaan mereka.

Zaharinah memerhati pekerjanya memproses sabun jenama sendiri tempahan daripada usahawan di kilang memprosesnya di Kudat. – Bernama
Syarikat Zaharinah mengeluarkan tujuh produk setakat ini, selain turut meneroka potensi perniagaan baharu dengan mengeluarkan produk pensanitasi tangan, kopi putih yang kini dipasarkan di lapan cawangan pasar raya Bataras di Sabah serta kedai minuman dan ais krim di Kudat. – Bernama

Tidak hanya membantu memulihkan pendapatan usahawan sedia ada, Zaharinah berkata KBBM turut berpotensi melahirkan lebih ramai usahawan baharu terutama generasi muda yang melihat kempen tersebut sebagai peluang untuk memulakan perniagaan dan mencipta produk jenama sendiri.

Zaharinah berkata ini dapat dilihat apabila beliau sendiri melatih ramai usahawan baharu khususnya dalam kalangan wanita di daerah itu kerana mereka yakin produk kosmetik keluaran usahawan tempatan ada permintaan, selain boleh dipasarkan secara dalam talian.

Usahawan berumur 33 tahun itu turut berkongsi pengalaman memulakan perniagaan dari rumah pada 2016 dengan hanya menghasilkan produk sabun berasaskan gamat sebelum mengorak langkah mengeluarkan pelbagai produk kosmetik seperti pencuci muka, krim dan pelembap muka serta gincu berasaskan abalone.

Kini, Zaharinah boleh menarik nafas lega apabila perniagaan secara kecil-kecilan dibinanya lima tahun lepas itu berkembang seiring perancangannya untuk memiliki kilang sendiri yang tidak hanya memproses produk keluarannya tetapi juga produk kosmetik usahawan lain termasuk dari Semenanjung, Sarawak dan Brunei.

Beliau berkata syarikatnya mengeluarkan tujuh produk kosmetik setakat ini, selain turut meneroka potensi perniagaan baharu dengan mengeluarkan produk pensanitasi tangan, kopi putih yang kini dipasarkan di lapan cawangan pasar raya Bataras di Sabah, serta kedai minuman dan ais krim jenama Loving Bee di Kudat. 

“Jujurnya, perniagaan produk kosmetik saya agak terkesan sepanjang pandemik ini. Atas sebab itu, saya meneroka potensi perniagaan lain dengan menghasilkan produk pensanitasi tangan, produk minuman kopi serta kedai minuman dan ais krim.

“Sambutan sangat menggalakkan apabila produk terbabit mampu merekodkan penjualan hingga 80 peratus. Justeru, saya berharap KBBM diteruskan supaya usahawan terus bersemangat dan membantu kami mempromosikan produk,” katanya, yang pernah menerima Anugerah Usahawan Terbaik Sabah pada 2019. – Bernama