KBBT juara kejohanan beregu badminton

Oleh Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – KBBT muncul juara dalam kejohanan beregu badminton setelah mengalahkan Puragam sempena sambutan ulang tahun ke-75 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam baru-baru ini.

Kejohanan yang diadakan selama seminggu itu dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung Pandan C, yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC).

Sebanyak sebelas pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut iaitu LLRC X, LLRC Y, Puragam, BSRC Hornbill, BSRC United, BSRC Sea Eagles, BSRC Shuttlers, The Chaos, Crosscourt, KBBT dan Shuttlers 75 dalam kategori beregu lelaki, beregu wanita dan beregu veteran lelaki.

KBBT mendahului perlawanan menentang Puragam dengan dua kemenangan pada awal perlawanan. Puragam berjaya mencatat kemenangan pada pusingan ketiga, tetapi KBBT kembali meraih kemenangan pada pusingan keempat.

The Chaos memperoleh tempat ketiga setelah mengalahkan LLRC X dalam perlawanan playoff di tempat ketiga.

Hadir selaku tetamu kehormat pada kejohanan tersebut ialah Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin. Turut hadir menyaksikan perlawanan berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Liang, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin dan pengerusi bersama kejohanan, Haji Affendy bin Haji Awang Damit.

KBBT semasa menerima trofi kemenangan yang disampaikan oleh Awang Ramlee.