Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 27 Jun – Kuala BelaitKu Ceria (KBKu Ceria) bakal kembali semula menemui orang ramai pada hujung minggu ini setelah sebulan dihentikan sementara bersempena Ramadan.
Kali ini, KBKu Ceria akan tampil lebih meriah, terutamanya apabila ia diadakan dalam bulan Syawal yang masih hangat diraikan.
Dengan tema ‘KBKu Ceria Berhari Raya’, ia akan diadakan di kawasan Taman Jubli Perak Jalan Maulana pada 1 Julai bermula jam 6 pagi hingga 11 pagi.
Berbagai-bagai acara termasuk pertandingan-pertandingan yang menyediakan hadiah-hadiah menarik akan diadakan antaranya Cabaran Ketupat yang memberikan peluang kepada orang ramai menampilkan bakat membuat ketupat dan merebut hadiah istimewa yang disediakan.
Acara-acara lain termasuk The Jigs dengan penyertaan percuma, I’M The Builder, Cabaran Makan Kuih Mor, The Artists yang dibukakan kepada penyertaan kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun di samping pelbagai permainan padang dan sebagainya yang menjanjikan keseronokan kepada orang ramai.
KBKu Ceria antara lain diadakan untuk menceriakan suasana Daerah Belait supaya akan sentiasa menjadi kunjungan ramai dalam kalangan masyarakat tempatan dan negara jiran selain untuk memberikan peluang kepada orang ramai melakukan aktiviti-aktiviti riadah bersama keluarga, rakan-rakan dan sebagainya.
Kebanyakan acara juga boleh membantu meningkatkan cara hidup yang sihat melalui aktiviti berbasikal, berjalan kaki dan sebagainya.
Di samping menyaksikan dan menyertai berbagai-bagai aktiviti dan acara yang disediakan, orang ramai juga berpeluang menjamu selera melalui gerai-gerai jualan makanan dan minuman serta barangan lainnya yang menjadi kegemaran ramai.

































