KBku Ceria kembali meriahkan suasana

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 30 Julai – Pekan Belait menjadi lebih ceria dengan kembalinya acara Kuala Belaitku Ceria yang diadakan sepanjang Jalan Sungai bermula kira-kira jam 7 pagi, di sini, hari ini.

Acara anjuran Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria itu telah diisikan dengan pelbagai acara yang dianjurkan bersama oleh agensi-agensi lain termasuk Syarikat Brunei LNG Sdn Bhd, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Radio Televisyen Brunei cawangan Kuala Belait dan lainnya.

Selain itu, ia juga turut diceriakan dengan jualan bazar daripada peniaga-peniaga kecil dan sederhana di sepanjang kawasan tepi jalan acara berkenaan.

Kuala Belaitku Ceria atau lebih sinonim dengan panggilan masyarakat di sini sebagai KBku Ceria, dimeriahkan dengan acara-acara berbasikal dan juga tawaran khidmat menaiki beca yang memberikan peluang kepada para pengunjung untuk bersiar-siar di kawasan sepanjang jalan yang dikhaskan.

Turut menarik perhatian pengunjung ialah Pertandingan Amazing Race anjuran Syarikat Brunei LNG Sdn Bhd.

Suasana di sepanjang acara KBkuCeria yang diadakan di sepanjang kawasan Jalan Sungai, Kuala Belait.
Suasana di sepanjang acara KBkuCeria yang diadakan di sepanjang kawasan Jalan Sungai, Kuala Belait.

Di samping itu, ia jua dimeriahkan lagi dengan jualan-jualan bazar seperti jualan Satu Kampung Satu Produk (1K1P) daripada ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung, jualan dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam Cawangan Belait, kampus-kampus IBTE, Sekolah Rendah Muhammad Alam, Maktab Anthony Abell Seria, dan sebagainya.

Beberapa orang yang sempat ditemui Media Permata memberitahu, mereka berharap acara seperti ini akan diadakan secara berterusan setiap hujung bulan, kerana ia boleh memberikan peluang penduduk setempat meluangkan masa bersama ahli keluarga berkunjung pada acara riadah tempatan.

Menurut mereka lagi, ia juga boleh memberikan peluang kepada kalangan belia melakukan aktiviti berguna dengan menganjurkan aktiviti bersempena KBku Ceria seperti acara sukan ria, uji bakat dan sebagainya yang boleh menampilkan bakat dalam kalangan anak-anak muda termasuklah dalam bidang perniagaan secara kecil-kecilan.

Manakala sebahagian mereka juga berpandangan, acara riadah seperti ini boleh menyuntik semangat bagi penduduk membiasakan diri berbelanja di negara sendiri dengan memberikan sokongan kepada peniaga-peniaga yang menyertai bazar bersempena KBkuCeria ini.

Mereka juga berharap promosi-promosi mengenai acara ini perlu dilakukan secara meluas, agar ia boleh diketahui orang ramai bukan sahaja kepada penduduk di daerah ini, malahan di daerah lain serta penduduk di negara jiran.