KBRI anjur kempen derma darah

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Sempena memperingati Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Republik Indonesia ke-76, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Brunei Darussalam telah mengadakan kempen derma darah dan pemeriksaan kesihatan percuma untuk masyarakat Indonesia di Brunei, kelmarin.

Kempen derma darah yang diadakan di dewan KBRI itu dijalankan dengan kerjasama Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan telah berjaya mengutip sebanyak 74 pain darah.

Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko semasa berdialog bersama para pekerja migran Indonesia (PMI) dan kakitangan KBRI semasa kempen itu menjelaskan bahawa pemeriksaan kesihatan itu merupakan salah satu usaha perlindungan kesihatan yang diberikan kepada masyarakat Indonesia.

Menurutnya lagi, beliau menghargai seluruh warga Indonesia yang meluangkan masa bukan sahaja untuk membuat pemeriksaan kesihatan malah menderma darah dalam situasi ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Hospital RIPAS atas kerjasama yang diberikan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KBRI di sini, pemeriksaan kesihatan itu membantu warga Indonesia memeriksa keadaan kesihatan berikutan ramai warga negara berkenaan yang telah meninggal dunia di negara ini pada tahun ini disebabkan pelbagai penyakit terutamanya masalah jantung dan tekanan darah tinggi.

Selain menyediakan 200 alat ujian, KBRI juga memberikan konsultasi kesihatan dan ubat-ubatan secara percuma kepada mereka yang mempunyai gejala penyakit.

Kenyataan menyatakan, kira-kira 200 orang warga Indonesia dari keempat-empat daerah mendaftar untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Sementara itu, kempen derma darah diadakan sebagai pemedulian masyarakat Indonesia terhadap masyarakat di negara ini yang memerlukan. Kedua-dua kegiatan berkenaan, tambah kenyataan, diharap dapat meningkatkan kesedaran untuk terus menjaga kesihatan, memelihara hubungan baik antara warga Indonesia dan Brunei selain membantu menambah simpanan darah tempatan.

Antara penderma darah yang menyertai kempen tersebut. – Gambar serahan KBRI