KBRI bantu pekerja terkesan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Dalam memperingati Hari Pahlawan pada 10 November dan sebagai tanda keprihatinan Pekerja Imigran Indonesia (PMI) di Negara Brunei Darussalam, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di negara ini telah mengagihkan bantuan kepada PMI yang disahkan sembuh daripada COVID-19.

Pengagihan bantuan berupa makanan, vitamin, gula, susu dan ubat-ubatan itu diserahkan oleh Penasihat Urusan Interim KBRI, Irwan Iding, pada 10 November kepada enam orang warga Indonesia bertempat di bangunan kedutaan itu. Kakitangan KBRI seterusnya akan mengagihkan 400 bantuan makanan ke semua daerah bagi pekerja Indonesia yang telah disahkan sembuh daripada COVID-19 nanti.

Produk yang diedarkan adalah produk import dari Indonesia dalam bentuk makanan dan suplemen kesihatan bagi meningkatkan sistem imun selepas melalui tempoh penyembuhan.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan, dari 9 Ogos hingga 10 November, seramai 515 warga Indonesia di negara ini telah dijangkiti COVID-19. Daripada jumlah itu, 405 orang telah diisytiharkan sembuh dan lima orang telah meninggal dunia.

Sebelum ini, pihak berkepentingan dari KBRI juga prihatin akan keadaan tempat warga Indonesia bekerja dan mengetatkan aktiviti sosial selepas tercetusnya gelombang kedua COVID-19 di negara ini dan pihak kedutaan juga telah mengagihkan sebanyak 1,000 pek makanan kering kepada mereka.

Sumbangan-sumbangan berkenaan diserahkan oleh Duta Besar Republik Indonesia, Dr Sujatmiko diikuti dengan perasmian operasi pengagihan makanan asasi.

Pakej agihan makanan dan pakej bantuan kepada mangsa COVID-19 PMI yang terselamat merupakan manifestasi pelaksanaan Nawacita Presiden Joko Widodo bahawa Indonesia sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan dan perlindungan kepada warganya.

Irwan Iding bergambar bersama penerima sumbangan pada majlis yang berlangsung di Bangunan KBRI.