KBRI bantu warga Indonesia di Brunei

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Seramai 212 warga Indonesia termasuk pekerja migran Indonesia (PMI) di negara ini telah menerima sumbangan berupa makanan asasi daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Brunei Darussalam, kelmarin.

Sumbangan telah disampaikan oleh Duta Besar Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko kepada wakil Komuniti Ikatan Keluarga Minang, Demiyarti.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KBRI, para penerima berkenaan adalah sebahagian daripada 700 orang warga Indonesia yang akan menerima sumbangan barangan makanan asasi dengan majlis penyerahan seumpamanya akan diadakan lagi pada 9 dan 10 Mei ini kepada 300 orang di Daerah Belait, Tutong dan Temburong.

TYT Dr Sujatmiko menjelaskan bahawa sebelum ini, pada 29 Mac lalu, mereka juga telah memberikan bantuan penutup mulut dan hidung serta pembersih tangan kepada warga Indonesia di negara ini sebagai pencegahan COVID-19.

Salah seorang penerima sumbangan tersebut, Tinparwati melahirkan penghargaan dan terima kasih yang mana sumbangan berkenaan sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban semasa penularan wabak COVID-19.

COVID-19 telah membawa impak ekonomi yang cukup terkesan bagi warga Indonesia di Brunei khususnya PMI yang bekerja di sektor restoran, katering dan perhotelan.

Sejak kes pertama dikesan di negara ini, KBRI terus mengambil berbagai-bagai langkah pencegahan yang antara memberi kesedaran melalui berkongsi maklumat melalui media sosial, pemberian bantuan dan lainnya.

TYT Dr Sujatmiko menyerahkan sumbangan kepada Demiyarti.