KBRI, MPC terokai kerjasama pelabuhan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Perwakilan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Bandar Seri Begawan hari ini mengadakan lawatan ke premis Muara Port Company (MPC) di Muara.

Menurut kenyataan dikeluarkan KBRI di sini hari ini, pada lawatan itu, wakil KBRI, Drs Irwan Iding turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif MPC, Zeng Caili dan Ketua Pegawai Operasi (COO), Awang Mohd Fazilah bin Haji Mohd Yassin.

Pada pertemuan itu, beliau dan Zeng serta Awang Mohd Fazilah menerokai kerjasama dalam pembekalan peralatan pelabuhan seperti bollard, boya dan fender buatan Indonesia serta penggunaan kapal angkut.

Turut dibincangkan ialah kerjasama Port-to-Port bagi peluang import eksport antara Indonesia dan Brunei memandangkan jumlah ketibaan kontena dari Indonesia ke Brunei meningkat setiap tahun, menurut Awang Mohd Fazilah. Manakala Zeng Caili melahirkan harapan agar perbincangan lanjut bagi kerjasama pelabuhan dapat diadakan bersama perusahaan pelabuhan di Indonesia.

Perwakilan dari KBRI dan MPC semasa perbincangan mengenai potensi kerjasama perniagaan. – Gambar serahan KBRI