KBS belum kemuka permohonan atlet ke luar negara

PUTRAJAYA, 14 JUN – Belum ada sebarang permohonan dikemukakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi atlet yang mewakili negara untuk ke kejohanan di luar negara, menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kerajaan akan melihat kebenaran bagi atlet ke luar negara selepas KBS menghantar permohonan itu kepada Jabatan Imigresen.

Jelasnya, buat masa ini negara masih lagi mengekalkan polisi iaitu tidak membenarkan rakyat Malaysia ke luar negara kecuali sebab-sebab tertentu.

“Ianya secara case-to-case basis iaitu permohonan mesti dibuat di Jabatan Imigresen. Begitu juga dengan warga luar yang nak masuk ke dalam negara, kita masih lagi mengekalkan polisi yang sama.

“Hanya beberapa kumpulan tertentu yang dibenarkan, misalnya diplomat, peserta Malaysia My Second Home dan sebagainya,” katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan di sini, hari ini.

Memberi contoh negara Jepun yang mengambil pendirian tegas dalam menangguh penganjuran Sukan Olimpik 2020, beliau berkata Malaysia yang turut mengambil pendekatan sama masih tidak benarkan kemasukan atlet luar ke negara kita.

Mengenai kelonggaran pergerakan rentas negeri, Ismail Sabri turut berkongsi perjalanan beliau balik ke kawasan Bera semalam yang mendapati trafik lancar walaupun terdapat peningkatan pergerakan kenderaan di lebuh raya utama. – Bernama