KBS cadang perkenal modul budaya

BEIJING, 19 Mei – Bagi melahirkan atlet berkualiti yang membawa nama baik Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang memperkenalkan modul budaya Malaysia sebagai pengetahuan tambahan kepada atlet negara.

Timbalan Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata ini kerana setiap atlet yang mewakili negara itu merupakan duta kecil Malaysia.

“Sebagai contoh, sekiranya mereka (atlet) mewakili negara di temasya sukan antarabangsa, pasti akan ada rakan atlet negara luar yang bertanya mengenai Malaysia, jadi dengan adanya pengetahuan asas ini, mereka tidak kekok untuk menerangkannya.

“Selain itu, ia menjadi salah satu platform yang baik untuk mempamerkan budaya Malaysia yang penuh dengan kesantunan dan kepelbagaian budaya kepada negara luar,” katanya kepada Bernama selepas sesi ramah mesra bersama pelajar Malaysia di Beijing pada majlis berbuka puasa di Kedutaan Malaysia, malam ini.

Majlis yang dihadiri 100 pelajar itu turut disertai wakil kedutaan Malaysia di China.

Ketika ditanya antara initipati modul itu, Sim berkata pihaknya akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan agensi berkaitan bagi memperincikan inisiatif tersebut.

“Selain atlet, kita turut merancang memperkenal modul ini kepada kumpulan sukarelawan MYCorps di bawah KBS.

“Aktiviti sukarelawan MYCorps bukan hanya tertumpu dalam negara sahaja, tetapi ia meliputi negara luar. Jadi dengan membekalkan modul ini kepada anak muda kita, mereka pasti akan membawa identiti Malaysia, terutamanya budaya kita ke seluruh dunia,” katanya.

Sim dalam rangka lawatan kerja enam hari ke Beijing bermula Selasa, bagi mewakili kerajaan pada ‘Persidangan mengenai Dailog Ketamadunan Asia’ yang bertemakan ‘Pertukaran dan Pembelajaran Bersama Dalam Kalangan Tamadun Asia dan Komuniti Dengan Masa Hadapan Bersama’.

Dalam lawatan itu, beliau turut melawat Sekolah Sukan Beijing Shi Cha Hai yang antara lain bagi meneroka kerjasama dalam bidang kesukanan dan membina perkongsian baharu. – Bernama