KBS sedia cari jalan bantu Hafizh

KUALA LUMPUR, 14 OKT – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia mencari jalan terbaik bagi membantu pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah yang memberi bayangan untuk meninggalkan Kejuaraan Motosikal Dunia pada penghujung musim ini.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata jika atlet negara mempunyai masalah, KBS akan terlebih dahulu mendengar sebelum sedaya upaya memberikan pertolongan.

“Itu tanggungjawab kita, yang penting beliau juga kena berusaha dan perlu ada semangat, Insya-Allah kita akan dapatkan satu titik pertemuan untuk memastikan beliau terbela,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke Institut Sukan Negara (ISN) di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Hafizh yang mewakili pasukan NTS RW Racing GP mengakui tidak dapat melihat masa depannya berlumba pada musim 2022 disebabkan faktor kekangan kewangan kerana untuk beraksi beliau perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi memenuhi tuntutan pasukan.

Beliau terdahulu memberi bayangan bersedia untuk menamatkan perjalanan kariernya selama lapan tahun dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia menerusi hantaran di Instagram miliknya dengan menggamit perjalanan kariernya sejak 2014. Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Faizal berkata dalam tempoh yang singkat di kementerian itu, beliau bersama warga kerja KBS telah mewujudkan akaun satelit industri sukan. – Bernama