KBS sokong cadangan MOM

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Kementerian Belia dan Sukan sedia menyokong hasrat membida hak penganjuran Sukan Asia 2030 seperti yang disuarakan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam.

Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau telah meminta pihak terbabit mengemukakan kertas cadangan dalam masa terdekat untuk dibawa kepada perhatian jemaah menteri.

“Bukan sahaja melihat daripada aspek Sukan Asia 2030, tapi juga Sukan Komanwel 2026.

“Kertas cadangan itu akan diserahkan kepada saya dan saya akan bangkitkan isu ini pada jemaah menteri untuk diperhalusi dan dibincangkan,” katanya kepada pemberita selepas sesi townhall KBS-BAM di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara hari ini.

Walaupun menyedari kos bidaan mungkin menelan kos tinggi, Syed Saddiq berkata kesemua perkara itu akan diambil kira dan akan dibincangkan sebelum persetujuan diberikan kerajaan.

“Kita akan mengambil kira semua aspek khususnya mengenai kewangan. Kita akan perhalusi sebelum mengambil tindakan susulan,” katanya. – Bernama