Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 8 Ogos – Sempena Hari Kidal Antarabangsa, Pusat Membeli-belah KBSentral akan menganjurkan beberapa acara pada 13 Ogos ini bermula jam 2 hingga 4 petang, di Tingkat 1 pusat tersebut, di sini.
Pada hari itu nanti, KBSentral akan mengadakan dua acara iaitu Kategori A, Pertandingan Mewarna bagi kanak-kanak berusia 8 hingga 11 tahun yang menghendaki para pesertanya mewarna menggunakan tangan sebelah kiri daripada kebiasaannya mereka menggunakan tangan kanan.
Sementara Kategori B, Pertandingan Menulis secara kidal dibukakan kepada mereka yang berusia 12 hingga 16 tahun.
Di samping pertandingan itu, KBSentral juga akan menyediakan dua permainan mini iaitu ‘Boggle Board’ dan ‘Guess My Drawing’ bagi kanak-kanak yang boleh meningkatkan pemikiran mereka, selain mengajar cara berfikir yang kreatif dan menyeronokkan.
Bagi mereka yang ingin menyertai kedua-dua pertandingan dan permainan itu dengan tawaran hadiah perlulah mengisikan borang yang boleh didapati di kaunter cabutan bertuah di aras bawah pusat tersebut, dengan tarikh tutup penyertaan pada 12 Ogos jam 10 malam.