Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 17 Mei – Sebagai tanda penghargaan dan mengeratkan lagi hubungan bersama kalangan pelanggannya, Pusat Membeli-belah KBSentral akan mengadakan lagi acara cabutan bertuah bagi bulan Mei pada 21 Mei ini, di sini.
Cabutan bertuah yang akan bermula jam 2 petang di kawasan Ruang Anjung Kereta KBSentral itu akan menyaksikan seramai 14 pemenang bertuah akan dipilih daripada 300 pelanggan yang sudah pun dimaklumkan oleh Bahagian Pengurusan KBSentral beberapa hari yang lalu.
Pengurus Pemasaran dan Acara KBSentral, Awang Ahmad Anwar bin Haji Rosly berkata, mereka akan meneruskan program cabutan bertuah bulanan dengan menawarkan hadiah-hadiah menarik termasuklah baucar-baucar yang ditaja oleh para penyewa kedai di KBSentral dan Hotel Garden Sentral.
Antara hadiah menarik bakal dimenangi oleh para peserta yang bertuah bagi bulan ini termasuklah barangan elektrik yang ditaja oleh Fresh Co Electronics seperti air fryers, pembersih vakum, pengukus makanan digital, pengisar daging dan sebagainya.
Tambahnya lagi, bagi kesemua 300 orang yang namanya tersenarai sebagai peserta cabutan bulan Mei itu nanti adalah diingatkan supaya membawa bersama mereka salinan asal kad pengenalan, sebagai pengesahan nanti. Semasa acara itu nanti, nama-nama para pemenang akan dipilih melalui cabutan daripada tetamu-tetamu undangan dan juga pengurus pemasaran dan acara KBSentral sendiri.