KUALA LUMPUR, 27 Jun – Seramai 150 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang belayar dengan KD Lekiu sejak 25 Mei lalu selamat tiba di Pelabuhan Pier B7 Joint Base Pearl Harbor Hickam (JBPHH), Hawaii pukul 7 pagi waktu tempatan untuk menyertai eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) hari ini.
Menurut Panglima Tentera Laut Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, eksesais tersebut melibatkan 52 kapal dari pelbagai negara, lima kapal selam, 19 angkatan tentera darat, 29 pesawat rondaan maritim, 200 pesawat pejuang dan helikopter yang disertai lebih 25,000 anggota.
Melalui eksesais itu, TLDM bakal menyertai beberapa fasa latihan seperti fasa pelabuhan, latihan integrasi dan latihan di laut bermula 27 Jun hingga 2 Ogos, katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan TLDM di sini.
Penyertaan TLDM dalam RIMPAC 2018 adalah bukti inisiatif dan komitmen TLDM dalam menyokong hubungan diplomasi pertahanan antara negara selain dapat membuktikan bahawa aset TLDM senti-asa berdaya saing dan setaraf tentera luar bertaraf dunia.
Eksesais RIMPAC 2018 yang melibatkan 27 negara, antaranya Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Vietnam dan Singapura, merupakan eksesais maritim antarabangsa terbesar dwitahunan yang dilaksanakan Tentera Laut Amerika Syarikat di Hawaii sejak 1971. – Bernama