KDA FC naib juara Liga Super

KUALA LUMPUR, 13 SEPT – Kedah Darul Aman (KDA) FC mengesahkan gelaran naib juara Liga Super buat musim kedua berturut-turut dengan kemenangan bergaya mengatasi Melaka United FC 4-1 pada aksi terakhir liga di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi.

Kejayaan itu turut menjamin slot pasukan dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan sekali gus menamatkan perebutan tiga penjuru bersama Penang FC dan Terengganu FC (TFC) yang terikat 2-2 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Pada aksi di Alor Setar, penyerang Tchetche Kipre meledak gol kesembilan peribadi musim ini selepas menjaringkan dua gol awal pasukan pada minit ke-24 dan minit ke-31 sebelum penyerang Melaka United FC Adriano Narcizo merapatkan kedudukan pada minit ke-50.

Skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak memuktamadkan kemenangan menerusi dua jaringan dalam tempoh dua minit yang dijaringkan ketua pasukan Baddrol Bakhtiar dan pemain muda Muhammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin, masing-masing pada minit ke-67 dan minit ke-69.

KDA FC muncul naib juara dengan mengumpul 43 mata, dua mata di hadapan Penang FC sementara TFC di tempat keempat dengan 38 mata. – Bernama

Pemain Kedah Mohd Rizal Mohd Ghazali cuba menyekat kemaraan pemain Melaka United FC Sony Norde pada perlawanan Liga Super Kedah FC bertemu Melaka United FC di Stadium Darul Aman kelmarin. – Bernama