KDA FC sasar tempat kedua liga

ALOR SETAR, 9 SEPT – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) beralih tumpuan kepada perlawanan terakhir bertemu Melaka United, Ahad ini bagi menentukan pasukan itu berada di kedudukan kedua Liga Super musim ini.

Ketua Jurulatih KDA FC Aidil Sharin Sahak berkata fokus utamanya kini adalah untuk memantapkan pasukan serta mengembalikan tahap kecergasan pemain selepas mengharungi lapan perlawanan dalam tempoh sebulan.

“Kita akan lihat nanti, apa nak saya katakan ialah kami perlu laksanakan tugas ini dengan sebaik mungkin dan dapatkan keputusan yang baik. 

“Saya berharap pemain dapat bermain dengan cemerlang nanti seperti beraksi di final,” katanya kepada pemberita selepas aksi menentang UiTM FC di sini malam tadi.

Dalam perlawanan itu, Kedah sekadar mengutip satu mata selepas seri 3-3 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman. – Bernama