BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Lima nelayan tempatan yang terdampar di laut setelah perahu mereka mengalami kerosakan enjin telah diselamatkan oleh KDB AFIAT, 10 batu nautika timur laut dari Champion Oilfield pada awal pagi kelmarin.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, kapal Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) sedang membuat rondaan maritim apabila ia menerima laporan mengenai kapal tersebut pada 1:32 pagi.
KDB AFIAT seterusnya membuat misi mencari dan menyelamat dan berjaya menemui nelayan-nelayan tersebut pada 2 pagi. Kelima-limanya berada dalam keadaan sihat ketika ditemui. Kapal mereka turut ditarik ke Muara dan nelayan-nelayan tersebut diserahkan kepada Polis Marin, Polis Diraja Brunei.
Misi tersebut merupakan operasi menyelamat kedua yang dilaksanakan oleh TLDB pada bulan Jun ini.
Sebelum ini, misi menyelamat yang sama telah dibuat pada 5 Jun lalu.